Perlu Serah Diri, Imigresen Sudah Batalkan Permit Kerja Rayhan Kabir

Selepas 5 hari gagal mengesan Md Rayhan Kabir yang ditemui bual agensi berita antarabangsa, Al Jazeera Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah bertindak membatalkan permit kerja warga Bangladesh itu

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang kemudiannya memaklumkan Md Rayhan perlu menyerah diri kepada pihak berkuasa.

“Oleh itu, dia perlu menyerah diri sebelum diusir balik ke negara asalnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selasa lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat siaran media memohon bantuan orang ramai mengesan lelaki berkenaan dengan alamat terkahirnya di Sirhan Legacy Sdn Bhd B-7-9, Menara Uncang Emas, No 85, Jalan Loke Yew, 52000, Kuala Lumpur.

Dia dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu pada 3 Julai , Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown mengenai cara Malaysia dalam mengawal penularan wabak COVID-19 .

Menerusi video tersebut Md Rayhan Kabir dilihat lantang mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.



via BuzzKini

Post a Comment

Previous Post Next Post