SHAH ALAM: "Walaupun hasil seni kami dicemari vandalisme dan kini terpaksa 'dipadam' sepenuhnya, tapi ia langsung tidak buat kami serik untuk berkarya lagi," kata pelukis mural gergasi potret pemimpin negara, Muhamad Firdaus Nordin.
Beliau merupakan seorang daripada tiga pelukis berbakat yang mengekspresikan penghargaan mereka kepada pemimpin negara menerusi karya potret mural gergasi pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini.
Pada Isnin, mural itu dicemari vandalisme, dengan contengan semburan cat merah memaparkan kata-kata yang tidak menyenangkan, sehingga menyebabkan seluruh lukisan di dinding itu terpaksa dipadam dengan cara dicat semula dengan warna putih.
Muhamad Firdaus berkata beliau dan rakan-rakan pada awal lagi pernah menjangka hasil seni mereka itu ada kemungkinan akan dirosakkan pihak tertentu, namun kejadian vandalisme yang berlaku pada Isnin di luar jangkaan kerana tempohnya agak singkat sejak potret mural gergasi menjadi tular baru-baru ini.
"Tipulah kami tidak sedih tengok hasil seni titik peluh kami diconteng sebegitu kemudiannya dipadam sepenuhnya. Kami tidak diupah untuk melukisnya, tetapi dengan menyiapkan lukisan itu, ia sudah beri satu tahap pencapaian membanggakan yang tidak disangka-sangka kepada kami," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau menjelaskan walaupun hasil seninya bersama rakan Muhammad Suhaimi Ali dan Abdul Hadi Ramli tidak 'dihargai' pihak tertentu sehingga diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan, namun ia langsung tidak melunturkan semangat ketiga-tiga mereka, malah mereka tidak keberatan untuk melukis kembali di lokasi sama.
"Perbincangan untuk lukis atau tidak (di lokasi sama) akan dibuat selepas keadaan kembali reda dan mendapat kebenaran MBSA. Siasatan terhadap pelaku vandalisme pun sedang dilakukan oleh polis...apabila semua dah selesai, kita tengok macam mana.
"Saya cuma berharap kedua-dua suspek yang disyaki menconteng hasil lukisan mural itu ditangkap secepat mungkin kerana ia bukan saja menimbulkan kemarahan kami, tapi juga kebanyakan rakyat sebab mereka menconteng lukisan itu khususnya potret Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata kesat," katanya.
Antara yang diabadikan sebagai hasil karya mural gergasi itu adalah lukisan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata polis sedang meneliti dari pelbagai sudut kemungkinan mengenai perbuatan vandalisme menconteng perkataan tidak menyenangkan pada mural itu.
"Kalau (pelaku itu) orang yang biasa yang buat conteng ini, dia merupakan seseorang yang melakukan kesalahan. Kita akan ambil tindakan mengikut kesesuaian," katanya kepada media di bangunan Parlimen selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) bilangan 1/2020.
Sumber: BERNAMA
sumber Sehinggit Media News
Tags:
singget