Setahun Tak Jumpa Isteri Demi Tugas Di Lubnan, Suami Sedih Hanya Jenazah Isteri ‘Sambut’ Kepulangannya

Pertemuan penuh hiba. Itu apa yang dapat digambarkan apabila seorang suami yang terpisah selama setahun dengan isteri demi tugas pada negara, kini pulang ke pangkuan keluarga.

Namun, air mata kesedihan mengiringi pertemuan itu kerana yang menyambut si suami pulang bukanlah senyuman si isteri tetapi jasadnya yang sudah tidak bernyawa lagi.

Menerusi perkongsian MyJointForce, anggota pengaman MALBATT 850-7, Lans Kopral (LKpl) Mohd Noh bin Samsudin menjalankan amanah negara dalam melaksanakan Misi UNIFIL di Selatan Bumi Lubnan selama setahun.

Kepulangan beliau ke tanah air menjadi penghormatan terakhir seorang suami buat isteri tersayang, Norhidayah binti Amishammudin yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Moga Allahyarhamah ditempatkan di dalam kalangan orang beriman. Amin!

PENGHORMATAN TERAKHIR SUAMI BUAT ISTERI TERSAYANG; ANGGOTA MALBATT 850-7

Kehilangan insan yang dicintai sangat memilukan hati sementelah insan tersebut merupakan suri hati. Itulah yang sedang dirasai seorang suami bergelar anggota pengaman Pertubuhan Badan-Badan Bersatu (PBB) UNIFIL, MALBATT 850-7 yang telah kehilangan isteri tercinta dan pergi buat selamanya.
Perpisahan selama setahun demi tugas bertukar menjadi perpisahan selamanya buat anggota pengaman MALBATT 850-7, LKpl Mohd Noh bin Samsudin yang pada ketika itu menjalankan amanah negara dalam melaksanakan Misi UNIFIL di Selatan Bumi Lubnan.

Isteri beliau, Allahyarhamah Norhidayah binti Amishammudin telah pulang ke Rahmatullah pada 17 Sep 20, jam lebih kurang 7.01 malam di Hospital Besar Kuala Pilah akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Perjalanan beribu batu dari Lubnan ke Malaysia dan takdir ketentuan Ilahi yang mengatasi segalanya tidak mengizinkan LKpl Mohd Noh bin Samsudin berada di samping isteri ketika isteri menghembuskan nafas terakhir 4 jam setibanya beliau di KLIA.

Dalam keadaan dunia bergelut dengan wabak pandemik COVID-19, beliau juga tidak terkecuali melalui prosedur kuarantin sepertimana yang ditetapkan oleh KKM.

Suasana hiba dan pilu turut dirasai apabila beliau berpakaian penuh Personal Protective Equipment (PPE) dan dibenarkan untuk menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat isteri tercinta lagi disayangi dengan bantuan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Yoh, Johol, Negeri Sembilan pada 18 Sep 20.

Kol Khairul Anwar bin Soib, Komander MALBATT 850-7 dan Seluruh Warga MALBATT mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga dan mendoakan semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman dan beramal soleh.

Tambahannya lagi, jutaan terima kasih jua kepada yang sudi membantu melancarkan urusan pengkebumian Allahyarhamah. Al Fatihah.

Sumber: MyJointForce

The post Setahun Tak Jumpa Isteri Demi Tugas Di Lubnan, Suami Sedih Hanya Jenazah Isteri ‘Sambut’ Kepulangannya appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post