Yang Dipertua Dewan Negara Baharu Diketahui Hari Ini

M Update, 2/9/2020 – Dewan Negara akan memilih Yang Dipertua baharu pada hari pertama persidangannya semalam bagi menggantikan Tan Sri SA Vigneswaran yang tamat tempoh perjawatannya pada 22 Jun lalu.

Setakat semalam, empat nama disebut-sebut dikemukakan oleh beberapa parti sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara ke-21. Antaranya Tan Sri Rais Yatim dikatakan dicadang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU); Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Barisan Nasional); Datuk Theodore Douglas Lind (Parti Warisan Sabah) dan Yusmadi Yusoff (PKR).

Mohamad Ali ketika dihubungi mengesahkan beliau dicalonkan bagi jawatan berkenaan, bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut.

“Ya saya dicalonkan oleh kawan, tetapi saya tidak berhajat mahu membuat sebarang kenyataan mengenainya. Saya perlu mendengar pandangan dan arahan daripada rakan-rakan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Theodore pula ketika dihubungi turut mengesahkan dicalonkan ke jawatan itu dan pencalonannya dikemukakan Senator Datuk Marzuki Yahya daripada Bebas, Jumaat lalu. Bagaimanapun, usaha BH menghubungi Rais dan Yusmadi tidak berjaya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menamakan Rais yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebagai calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara. Pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara perlu dibuat dalam kalangan ahli dewan berkenaan. Selain Yang Dipertua, seorang timbalan juga akan dilantik daripada kalangan Senator.

Yang Dipertua Dewan Negara yang berkhidmat untuk tempoh maksimum dua penggal atau enam tahun, berperanan mengawasi perjalanan mesyuarat, memastikan perbahasan berkaitan dengan perkara dibahaskan dan membuat keputusan mengenai peraturan mesyuarat, jika berlaku perbalahan.

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli dan terbahagi kepada dua, masing-masing 26 ahli dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili 13 negeri, setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli.

Seramai 44 ahli lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Fungsi Dewan Negara adalah meneliti dan mengesahkan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Rakyat. – BH Online

The post Yang Dipertua Dewan Negara Baharu Diketahui Hari Ini appeared first on M-Update.



source : M-Update

Post a Comment

Previous Post Next Post