Mana maruah Melayu, 80% gelandangan Islam makan di gereja

Lebih 80 peratus daripada kira-kira 100 orang gelandangan atau warga miskin kota yang menerima bantuan makanan di sesebuah gereja pada satu-satu masa terdiri daripada Melayu beragama Islam.

Pendedahan tersebut diakui seorang ibu tunggal ketika kebetulan ditemui Malaysia Dateline di Surau Balai Islam berdekatan Bulatan Pahang, Kuala Lumpur semalam.

Hanya mahu dikenali sebagai Junaidah (bukan nama sebenar), 50, beliau yang menjaga seorang anak lelaki menghidap penyakit ulser tulang memberitahu ramai gelandangan Melayu terpaksa mengharap bantuan daripada pihak gereja dan NGO berlatarbelakangkan Kristian.

Ujarnya, sebuah gereja berhampiran Dataran Merdeka menyediakan sarapan mulai jam 8 pagi setiap hari manakala satu gereja lagi di Bukit Nanas menjamu makanan tengah hari kepada warga miskin kota juga setiap hari.

“Bagusnya lagi, pihak gereja menghormati gelandangan beragama Islam. Kami akan makan terlebih dahulu selepas wakil daripada kami diminta membacakan doa makan. Kemudian, baru doa untuk penganut mereka pula dibaca.

“Selain makanan, gereja dekat Dataran Merdeka itu siap beri sabun, benarkan gelandangan cuci baju dan sediakan ampaian untuk menjemur pakaian,” ujarnya yang kali terakhir menerima bantuan makanan di gereja terbabit selepas Aidilfitri tahun lalu.

Baca: 4 Jenis Senaman Terbaik Untuk Penghidap Asma

Beliau yang tiba di surau itu bertanyakan pada Malaysia Dateline tentang imam untuk memohon bantuan wang ihsan selepas kira-kira sejam berlalunya solat Asar berjemaah.

“Minta bantuan pada Baitulmal setakat RM250 hingga RM300 sebulan. Sewa bilik di KL pun sudah RM300.

“Saya dengan anak berusia 25 tahun mulai tahun 2016 tidur di sekitar Masjid Negara kerana tak mampu menyewa bilik,” ujarnya yang berasal dari Rembau.

Bercerita lanjut tentang perbandingan dengan layanan institusi ibadat Islam, Junaidah berkata, pihak masjid sekitar ibu negara tidak pula berbuat demikian.

“Masjid Negara pun tidak ada. Hanya NGO dan mahasiswa saja yang ada berikan kami sumbangan makanan.

“Kalau dekat kawasan Kolej Segi berhampiran Anjung Singgah, ada seorang Datin bagi sumbangan duit setiap bulan. Itu usaha orang perseorangan. Kalau Baitulmal lagilah, bagi (bantuan kewangan) buat syarat saja.

“Kelmarin, saya minta bantuan wang ihsan untuk ambil dua anak yang dijaga bekas suami di Jengka. Baitulmal tak bagi wang sebab katanya duit bulanan sudah bagi,” ceritanya di perkarangan surau sambil merenung jauh kenderaan yang mulai sesak di Bulatan Pahang itu.

Berkongsikan pengalamannya yang pernah memohon bantuan bulanan pada Baitulmal di Terengganu tahun lalu bagi pihak anaknya, Junaidah berkata institusi itu menolak permohonan mereka dengan alasan bukan pemastautin.

“Saya merayu mereka buat tak tahu walaupun kad pengenalan anak saya terbukti lahir di Terengganu. Katanya, datanglah esok lusa jumpa pegawai mereka padahal saya tidak boleh tunggu. Penyakit anak saya kena cepat diberi ubat.

“Kata pegawai itu ramai orang begitu. Pada kad pengenalan saja lahir di Terengganu, tinggal di negeri lain,” cerita Junaidah kembali sehingga beliau pada hari tersebut terpaksa memohon jasa baik pihak Jabatan Mufti yang pejabatnya tidak jauh dari Baitulmal itu.

Beliau berkata, pihak Baitulmal memberi bantuan hanya selepas
Jabatan Mufti itu menghubungi Baitulmal memaklumkan permohonan mereka harus diberi perhatian.

“Itupun Baitulmal beri bantuan kecemasan RM100 bukan bantuan bulanan dengan alasan sama – bukan pemastautin.

“Lepas tu pegawai itu pula persoal saya kenapa mengadu pada Jabatan Mufti sedangkan saya terdesak perlukan wang ihsan untuk belanja perubatan anak saya yang kaki kirinya sakit teruk akibat sisa karat selepas berlaku kemalangan di bengkel kereta tahun 2014 lepas,” jelasnya.

Memohon bantuan ihsan dari pihak masjid juga amat mengecewakan walaupun pada papan kenyataan masjid terpampang ribuan ringgit kutipan setiap minggu Solat Jumaat.

Beliau berkata, Ahad lalu seorang jawatankuasa Masjid Amru Ibni Al’As di Bandar Baru Sentul menolak rayuannya yang memohon sedikit wang dengan alasan bukan kariah masjid.

“Dia kata dia berpegang pada prinsip. Dia hanya bantu anak kariah masjid saja. Saya sedih sebab setahu saya orang yang bersembahyang di mana-mana masjid termasuk ketika solat Jumaat juga datangnya dari luar kariah,” keluhnya lagi.

Join Telegram

The post Mana maruah Melayu, 80% gelandangan Islam makan di gereja appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post