Sayu hati hanya gambar, video pusara anak di Madinah ubat kerinduan dari jauh, keluarga harapkan ada yang sudi ziarah Syawal ini

BUKAN sahaja tidak mampu menyentuh batu nisan, malah pusara anak yang dijemput Ilahi juga hanya boleh ditatap menerusi foto.

Begitulah nasib seorang ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman ketika menunaikan umrah pada 14 Februari lalu.

Allahyarham Nur Alesha Ammara Mohamad Amirul dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ di Madinah yang mana wanita tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Kenangan… Allahyarham Nur Alesha (hadapan, kiri) bersama keluarga ketika menunaikan umrah.

Kerinduan itu disuarakan kepada suami yang juga bapa kepada arwah iaitu Mohamad Amirul Zulkafly.

Bercakap kepada mStar, bapa berusia 36 tahun itu memberitahu, isterinya sering kali terkenangkan anak bongsu daripada dua beradik itu dari kejauhan.

“Saya bersyukur setakat ini ada dua rakan yang pergi menunaikan umrah di sana termasuk sekumpulan pelajar Malaysia di Madinah, yang menziarah pusara Alesha (arwah).

“Mereka datang dan buat Facebook Live (penstriman video secara langsung). Sambil tengok live, kami mendoakan arwah dan kerinduan terubat,” katanya ketika dihubungi mStar.

Amirul bersama dua anaknya di Tanah Suci.

Lebih mesra disapa Amirul, dia mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkunjung ke Madinah dan sudi untuk menziarahi pusara anak perempuannya pada Hari Raya Aidilfitri.

“Kalau ada sesiapa berhajat untuk ziarah, kami terima dengan hati yang terbuka. Kebiasaannya, setiap kali raya, tentunya antara kita akan menziarah pusara ahli keluarga masing-masing.

“Begitu juga dengan kami sekeluarga ada keinginan itu, tapi pusara Alesha jauh di Madinah. Teringin nak pergi lagi ke Tanah Suci, tapi kami baru je balik dari sana.

“Kami sedang mengumpul duit untuk ke sana lagi. Sebab itulah kalau kami dapat tengok gambar atau video pusara anak pun dah bersyukur sangat,” ujarnya yang berasal dari Arau, Perlis.

Amirul (kiri) sekeluarga di Madinah.

Pada Februari lalu, mStar melaporkan mengenai kisah pemergian Nur Alesha termasuk kejadian merpati ‘melawat’ ketika rombongan Amirul membaca Yasin di Masjid Nabawi sebelum anaknya disahkan meninggal dunia.

Menurut guru di sekolah rendah di Ranau, Sabah itu, jika sebelum ini kedatangannya ke Madinah antara lain untuk menziarah makam Rasullah, tapi kini turut ada pusara anaknya.

Dalam pada itu, Amirul mahu mengucapkan terima kasih kepada ramai individu yang banyak membantu menguruskan pengebumian anaknya, memberi sokongan moral dan bantuan lain lain terhadap keluarganya sebelum ini.

“Ini terutama seorang penyelia hospital bernama Muhammad dan kakitangan-kakitangan lain yang membantu menguruskan arwah sejak hari pertama dimasukkan ke hospital sehingga hari terakhirnya di dunia ini,” katanya.

Hubungan erat Nur Alesha (kiri) dan abangnya.

Selain itu dia turut menghargai sumbangan seorang hamba Allah yang membiayai segala kos perubatan arwah anaknya.

Bagi Amirul, Syawal kali ini ternyata amat berbeza dan tidak seceria berbanding sambutan tiga tahun sebelumnya kerana diraikan tanpa anak perempuan.

Allahyarham Nur Alesha dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’ di Madinah.

“Syawal kali ini kami raya bertiga tanpa Alesha. Kami berharap ada insan-insan di Madinah masa raya nanti yang bermurah hati dan berpeluang masuk ke perkuburan Baqi’, kongsilah video pusara Alesha buat kami,” katanya yang berkongsi koordinat lokasi pusara anaknya di perkuburan Baqi’ (24°28’05.8″N 39°37’07.7″E).

Hanya Tuhan saja yang mengetahui kesedihannya, namun dia bersyukur ‘dipertemukan’ dengan anak perempuannya menerusi mimpi dalam 10 hari terakhir Ramadan.

“Baru-baru ini saya mimpi Alesha sekitar pukul 3 pagi. Dalam mimpi tu, dia pakai gaun warna merah hati dan wajahnya sangat ceria sambil tersenyum.

“Dia beritahu ‘abah, seronok Alesha di sini‘. Saya pesan jangan nakal-nakal dan tunggu abah dan mommy. Terjaga dari mimpi, saya rasa terubat rindu pada arwah,” ujar Amirul.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Koleksi Viral

Sumber : https://ift.tt/EUO2JCa



Sumber: Sinar Viral

Post a Comment

Previous Post Next Post