1 JAN 16 Wajib Mengasingkan Sampah Mengikut Tiga Jenis Barangan Kitar Semula


KOTA TINGGI -- Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), yang mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah yang sepatutnya dilaksanakan September ini, telah ditunda pelaksanaannya ke 1 Jan tahun depan.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata keputusan itu dibuat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelaksanaan akta berkenaan.
"Dalam tempoh enam bulan ini, kita mahu meningkatkan promosi dan menerapkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mengasingkan sampah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya Ramadan Masjid dan Surau Peringkat Parlimen Tenggara 2015 di Masjid Jamek Al-Kausar, Kampung Baru Sungai Telor, dekat sini, malam tadi.
Menerusi penguatkuasaan akta itu kekal, beliau berkata adalah menjadi satu kesalahan sekiranya orang ramai tidak mengasingkan sampah mengikut tiga jenis barangan kitar semula di premis masing-masing.
"Jika masyarakat ada katakan mereka tidak dapat maklumat yang cukup tentang usaha yang dilakukan ini, ia tidak benar kerana kita telah beri masa yang cukup.
"Malah pihak Solid Waste Corporation (SWCorp) juga sudah bergerak ke setiap negeri untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang hal tersebut," katanya.
Halimah berkata kelak proses kutipan sisa pepejal akan dilakukan tiga kali seminggu dan satu daripada hari tersebut ditetapkan bagi kutipan bahan-bahan yang boleh dikitar semula termasuk seperti katil, perabot dan mesin basuh lama.
Katanya ia bertujuan mengurangkan kutipan sampah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan sampah dan sekaligus dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sedia ada.
Halimah berkata pada bulan Ramadan ini sahaja, dianggarkan purata 9,000 tan makanan yang masih tidak diusik dibuang setiap sehari.
Justeru itu, katanya kerjasama semua pihak khususnya kerajaan negeri termasuk jabatan agama diharapkan agar menyentuh perihal pembaziran ini dalam tazkirah bersempena bulan Ramadan ini.
Pada majlis itu, Halimah yang juga Anggota Parlimen Tenggara menyampaikan sumbangan bagi program mengimarahkan masjid dan surau berjumlah RM167,000 kepada 27 masjid dan 33 surau dalam kawasan Parlimen itu dan cek bernilai RM320,000 bagi menaik taraf Masjid Jamek Al-Kausar.

Post a Comment

Previous Post Next Post