DAP Mahu Lebih Ramai Melayu, Iban, Kadazandusun Sertai Parti


DAP akan terus memperkasa keahlian Melayu, Dayak, Kadazan dan Dusun bagi mengekalkan aspirasi parti yang sebenarnya tidak pernah bercita-cita menjadi parti Cina atau non-Melayu.
Demikian ucapan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam forum “Bolehkah Najib atau 1MDB terus hidup” di Wisma Ten Chen kelmarin.
“Ada yang meramalkan, setelah hubungan DAP-PAS diputuskan dan Pakatan Rakyat terkubur, DAP akan menjadi parti politik Cina yang berfikiran sempit.
“Mereka silap besar jika berfikir begitu kerana DAP tak pernah bercita-cita jadi parti Cina sejak penubuhannya pada 1966,” katanya.
Menurut Kit Siang, dalam apa juga keadaan DAP tetap komited untuk menggapai impian Malaysia, bukan impian Cina, impian India atau impian Melayu.
Menurutnya kerana aspirasi impian Malaysia itu, DAP menjadi parti pan-Malaysia pertama di Malaysia mencakupi penubuhan cawangan di Sabah dan Sarawak ketika ditubuhkan.
Sejak pilihan raya umum 1969 lagi, katanya, DAP sentiasa meletakkan calon daripada pelbagai kaum dan agama.
“Bahkan kini DAP memiliki ahli parlimen India lebih ramai berbanding MIC,” katanya.
Tambahnya, UMNO-BN terus memfitnah DAP sebagai anti-Melayu dan Islam bagi menakutkan rakyat.
“Tidak akan ada parti politik yang mahukan sokongan semua rakyat Malaysia boleh menjadi anti-Melayu, anti-Islam, anti-Cina, India atau Dayak atau anti Buddha, Kristian dan Sikh.
“Saya percaya dalam dekad keenam tertubuhnya negara kita, akan lebih ramai rakyat Malaysia mengutamakan sikap sebagai warga Malaysia sebelum mengakui dirinya sebagai Cina, Melayu, India, Kadazandusun dan Iban,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post