KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan pada Rabu mengesahkan jenama mi segera Maggi yang dijual dan dikilangkan di negara ini adalah selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan itu berikutan isu pengharaman
sementara penjualan mi segera jenama tersebut di India seperti yang
dilaporkan media baru-baru ini.
Pengharaman sementara tersebut dibuat
oleh pihak berkuasa di India susulan penemuan kandungan logam berat
plumbum melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang negara tersebut
di dalam mi segera jenama berkenaan.
“Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan
ingin memaklumkan bahawa mi segera jenama Maggi yang dijual di negara
ini dikeluarkan oleh kilang di dalam negara dan tidak diimport dari
India.
“Kementerian Kesihatan juga telah
menjalankan pengesahan ke atas program jaminan keselamatan makanan yang
dilaksanakan oleh kilang mi segera berkenaan.
“Pihak kami mendapati bahawa pengurusan
kilang tersebut telah mengambil segala langkah yang perlu untuk
memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, hasil pemantauan
ke atas mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan termasuk yang
diimport juga mendapati tiada sampel dikesan mengandungi plumbum
melebihi paras yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan
1985.
Sementara itu, pengilang produk
berkenaan Nestle Malaysia turut memberikan kenyataan rasmi dengan
menegaskan bahawa pihaknya mengutamakan kualiti dan keselamatan produk
keluarannya.
“Semua produk Nestle dihasilkan di bawah
syarat pengeluaran yang menepati standard tempatan dan antarabangsa
serta selamat untuk dimakan,” kata kenyataan itu yang menambah bahawa
produk syarikat itu di negara ini adalah hasil keluaran tempatan.
Menurut kenyataan tersebut, setiap
peringkat sumber bahan mentah dan proses pengeluaran Nestle perlu
melalui pemeriksaan kualiti. Itu termasuk ujian komprehensif bagi
memastikan ia menepati peraturan dan undang-undang keselamatan makanan
sebelum ia sampai kepada konsumer.
“Nestle Malaysia melakukan pemantauan
berkala sebagai amalan kawalan kualiti, termasuk menjalankan ujian
makmal bagi mengesahkan semua produk mematuhi peraturan dan
undang-undang berkaitan,” ujar kenyataan itu.