Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kekesalannya atas pembatalan sebuah forum dialog minggu lalu bagi menjawab beberapa isu yang menjadi kontroversi kebelakangan ini.
Program 'Dialog PM Bersama NGO' pada 5
Jun itu turut dihadiri mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,
pengkritik tegar polisi kerajaan pimpinan Najib, terutamanya berhubung
isu pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib dalam posting terbaharu di blognya
najibrazak.com hari ini turut menyatakan kesediaan untuk berdepan
dengan Dr Mahathir bagi memberikan penjelasan berhubung beberapa isu
berbangkit.
“Tun Mahathir berhak bertanya dan saya
sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara
munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan,"
tulisnya.
Walau bagaimanapun, katanya, beliau akan
terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah
pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Najib menjelaskan
tindakannya tidak muncul pada forum Dialog PM bersama NGO "Nothing2Hide"
pada 5 Jun lalu adalah demi menjaga nama baik kerajaan dan parti.
Menurutnya, sebagai perdana menteri,
tidak wajar bagi beliau berdebat secara terbuka di khalayak ramai dengan
bekas perdana menteri yang juga dari parti politik yang sama.
Perubahan format daripada majlis dialog
tertutup kepada majlis pembahasan terbuka juga akan memburukkan lagi
pertembungan politik di antara beliau dan Dr Mahathir.
“Majlis ini telah bertukar format, daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis perbahasan terbuka.
"Perubahan-perubahan seperti ini akan
mengakibatkan majlis ini menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka di
antara Tun Mahathir dengan saya,” tulisnya lagi.
Katanya debat terbuka tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Katanya lagi, sebagai perdana menteri
dan Presiden UMNO, adalah menjadi tanggungjawab beliau menjaga nama baik
kerajaan dan parti.
Sesi 'Dialog PM Bersama NGO-NGO' anjuran
SukaGuam dan JASA pada Jumaat telah dibatalkan pada saat akhir atas
arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan atas
faktor keselamatan.
Mengulas lanjut, Najib berkata walaupun
pelan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang 1MDB dilaksanakan, namun
usaha itu tidak disambut baik pihak yang mengkritik isu hutang 1MDB.
1MDB baru-baru ini dilapor berjaya
membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat
mengurangkan hutang syarikat pelaburan negara itu yang berjumlah RM42
billion.