Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini berkata beliau merupakan antara individu yang paling gembira apabila nilai ringgit mengalami kejatuhan.
Menurut beliau, ini kerana pelancong
dari negara yang nilai wangnya lebih besar seperti United Kingdom and
Eropah akan membelanjakan wang mereka di Malaysia dengan lebih kerana
nilai pertukaran yang tinggi.
“Ringgit semestinya membantu Malaysia,
seperti yang saya katakan tadi semasa ucapan penggulungan, saya
merupakan antara beberapa individu yang gembira bila ringgit jatuh,”
katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.
Katanya, pelancong-pelancong tersebut akan berasa mewah dan seperti orang kaya apabila melancong ke Malaysia.
Selain itu, kata Nazri, kejatuhan
ringgit juga menyebabkan rakyat Malaysia berfikir dua kali sebelum
melancong ke negara lain terutama sekali ke negara seperti UK.
“Jadi ianya mahal dan mereka akan
membelanjakan wang mereka di sini sebagai pelancong tempatan… dan itu
menjadikan saya amat gembira. Saya sangat gembira,” katanya.
Beliau juga menjangkakan sektor pelancongan tempatan akan menyaksikan penambahbaikan yang banyak dalam beberapa bulan nanti.
Ringgit baru-baru ini menyaksikan lagi
kejatuhan apabila ia ditutup pada paras paling rendah dalam tempoh
sembilan tahun berbanding dolar Amerika pada Isnin lalu.
Ringgit berada pada 3.7660/7690 berbanding 3.7170/7200 ketika ditutup pada Jumaat lepas.