KUALA LUMPUR: Majlis Daerah Parit Tengah memaklumkan pasangan yang ingin menggunakan kerusi berkembar atau ‘couple seat’ bagi menonton wayang di pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak perlu menunjukkan sijil nikah sebagai bukti mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.
Menurut Ahli Majlis Daerah Seri Iskandar, Khairul Shahril Mohamed, syarat tersebut ditetapkan pihak Majlis Daerah sekitar pertengahan tahun 2014 selepas permohonan dibuat pihak pengurusan pawagam berkenaan, empat tahun lalu.
Jelasnya, susulan permohonan itu, satu kajian dan tinjauan telah dibuat oleh wakil Ahli Majlis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk mendapatkan reaksi orang ramai, disamping meninjau beberapa pawagam sekitar Kedah dan Kelantan.
“Pihak pengurusan pawagam LFS diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan agar pelanggan mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk pembelian tiket wayang menerusi talian iaitu pelanggan perlu mengesahkan mereka pasangan berkahwin.
“Selain itu, JAIP turut mengarahkan pihak pawagam supaya menyediakan pengcahayaan yang baik ketika penonton berada dalam panggung,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas notis larangan yang dikeluarkan oleh pawagam LFS yang tidak membenarkan pembelian tiket 'couple seat' kepada pasangan bukan mahram yang tidak mempunyai ikatan sah di sekitar Seri Iskandar.
Ujarnya, permohonan untuk menetapkan syarat berkenaan juga diluluskan berikutan penubuhan pawagam itu sebelum ini turut mendapat bantahan daripada masyarakat setempat.
Tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit, pihak pengurusan pawagam itu akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi syarat yang dipersetujui bersama Majlis Daerah.
“Denda akan dikenakan kepada pihak pawagam dan kemungkinan lesen perniagaan juga akan digantung sekiranya pasangan bukan muhrim ditangkap menggunakan ‘couple seat’.
“Pasangan yang didapati bersalah melanggar peraturan pula akan diberikan khidmat kaunseling,” ujarnya.
Jelasnya lagi, serbuan secara mengejut juga akan dilakukan oleh pihak JAIP di pawagam itu.
"Sehingga kini tiada sebarang laporan dan tangkapan dibuat membabitkan pasangan bukan muhrim yang melanggar peraturan," katanya.