Keterujaan ribuan VIP (gelaran untuk peminat) menanti sejak Mei lalu untuk menyaksikan konsert kumpulan sensasi lagi berpengaruh, Big Bang, tidak hanya kerana persembahan selama dua hari buat pertama kalinya di negara ini.
Tetapi, 'diklasifikasikan' sebagai Konsert Paling Mahal dalam sejarah persembahan jelajah mereka di Malaysia, sekaligus membuatkan ramai tertanya-tanya persembahan luarbiasa apa dan yang bagaimana pula kali ini?
Bertempat di Stadium Tertutup Putra Bukit Jalil, dengan disaksikan lebih 15,000 penonton tempatan dan antarabangsa, kumpulan yang juga popular dengan jolokan 'King of K-Pop' ini membuka tirai konsert, BigBang 2015 World Tour Made in Malaysia tepat jam 9 malam.
Persembahan dimulakan dengan Bang Bang Bang, lagu yang termuat dalam album terkini berjudul M.A.D.E yang dilancarkan sejak Mei lalu (yang setiap satunya mengandungi dua lagu) bersama 'Loser' dan 'If You'.
Serta deretan lagu hits dan menjadi siulan penyokong setia kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun 2006 antaranya Haru Haru, 'Tonight', Stupid Liar, Blue dan Lies'.
Tidak seperti kumpulan K-pop lain, Big Bang tidak cukup mempamerkan pergerakan tarian yang 'synchronize'.
Namun tak mengapa, kerana lakonan pentas serta aksi cukup bertenaga mereka sudah mampu menambah kehangatan sekaligus memberi seluruh penonton dalam arena ini satu pengalaman berhibur luarbiasa dan yang belum pernah dirasai pada mana-mana konsert sebelum ini.
Sesekali lima penyanyi ini bersilih ganti mempamerkan sisi nakal mereka, bergurau dan menyakat sesama sendiri. Secara tak langsung stadium gamat dek gelak tawa penonton yang terhibur dengan aksi mereka.
Seperkara lain, Big Bang memang tidak pernah gagal memukau peminat bermula dari 'gimik' montaj lima idola kesayangan ramai ini kemudian props sehinggalah ke rekabentuk pentas yang dibina khas secara terapung.
Disokong dengan sistem pencahayaan lampu juga kesan khas dan laser yang menakjubkan sekaligus menambah impak keterujaan dan keseronokan sepanjang perjalanan konsert mereka.
MD difahamkan kos untuk produksi sahaja, mencecah AS$260,000 (RM1 juta) serta melibatkan seramai 100 orang kru profesional yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat dan Korea.
Tiba di separuh perjalanan konsert dikuasai oleh persembahan solo dimulakan dengan maknae (gelaran untuk yang paling muda), Seungri mendendangkan Strong Baby dan Lets Talk About Love.
Sementara Daesung pula membuktikan dia vokalis utama BigBang dengan mendendangkan single popularnya, Wings. Kemudian menyusul Taeyang mempersembahkan lagu popularnya, 'Eyes Lips Nose'.
Konsert semakin rancak apabila ketua kumpulan ini, G-Dragon, muncul dengan aksi 'gila-gila' mendendangkan lagu 'Crooked' sebelum berduet dengan TOP dengan lagu 'Bad Boy'.
Tidak hanya itu, konsert kali ini jelas memperlihatkan penampilan Bigbang berbeza berbanding kunjungan mereka ketika konsert
BigBang Alive Galaxy Tour kira-kira tiga tahun lalu.
BigBang Alive Galaxy Tour kira-kira tiga tahun lalu.
Kali ini mereka buat 'homework' dan persediaan yang cukup. Ada peningkatan dari segi komunikasi dan pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris.
Anggota paling muda, Seungri bijak mengambil hati peminat.
"Saya suka Malaysia, makanan yang sedap-sedap dan cuacanya. Saya rasa gadis-gadis di negara ini paling cantik, betul kan?!", kata Seuring sambil memandang abang-abangnya bagi mendapatkan sokongan.
Sementara anggota yang kali ini muncul dengan imej rambut 'bowl cut' sehingga menutup mata, Daesung, berjaya membuat penonton gelak apabila sempat bergurau ketika gilirannya menyapa peminat,
"Saya tak boleh nampak, saya tak boleh nampak... saya tak boleh nampak," ujarnya yang bertutur dalam bahasa Melayu.
Kembali merancakkan suasana, Big Bang menghibur penonton dengan lagu Sober, Bae Bae, Fantastic Baby sebelum diakhir dengan We Like 2 Party, kira-kira jam 11malam. Konsert hari kedua akan berlangsung Sabtu (malam) ini.
Malaysia merupakan negara keenam lokasi konsert jelajah kumpulan itu selepas Korea Selatan, China, Hong Kong, Thailand dan Singapura.
Secara keseluruhan, Big Bang berjaya memberikan satu persembahan hebat, 'bersih' tanpa insiden atau aksi yang mencetuskan kontroversi sepertimana yang dibimbangi sesetengah pihak hingga ada gesaan agar konsert ini dibatalkan beberapa jam sebelum ia berlangsung.
Pun begitu, sedikit mengecewakan dari segi pengurusan pihak penganjur iaitu IME Productions yang kurang sistematik. Beberapa minit sebelum konsert bermula, wakil media yang sudah ditempatkan di tempat duduk tiba-tiba dihalau keluar dengan alasan mereka mengalami perselisihan faham dengan satu lagi produksi yang turut menguruskan konsert tersebut.
Akibatnya media terpaksa menunggu diluar sementara dua produksi tersebut menyelesaikan masalah mereka sedangkan konsert ketika itu sudah bermula. Sebagai sebuah produksi yang bukan pertama kali menganjurkan konsert mega sebegini, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana secara tidak langsung memperlihatkan ketidak profesionalan pihak penganjur. Di harapkan ia tidak berulang pada masa hadapan.