Bukan main lagi Erma Fatima, selepas hangat dengan drama dan teater Mak Cun sekarang. Selepas berjaya menggamatkan Istana Budaya, Mizz Lahar difahamkan, Erma bakal memasarkan produk makanan di bawah jenama Mak Cun di seluruh negara termasuk pasar raya utama tanah air.
Selain menambah pendapatan, tujuan utama Erma menghasilkan produk makanan tersebut kerana mahu memberi motivasi bahawa semua anggota masyarakat boleh menjadi usahawan berjaya seperti watak Mak Cun yang dilakonkan menerusi drama dan teater.
“Tidak lama lagi saya akan berangkat ke Berlin, Jerman dan Amsterdam, Belanda untuk melakukan penggambaran musim terbaharu Mak Cun. Selain menjalani penggambaran drama, saya juga akan menyertai acara Festival Makanan Malaysia yang diadakan di sana. Mak Cun akan ada booth sendiri di festival tersebut. Bukan hanya bedak sejuk, tetapi turut dijual adalah produk makanan menggunakan jenama Mak Cun,” kongsi Erma.
Tak sabar Mizz Lahar hendak mencuba produk makanan yang masih dirahsiakan itu. Kata Erma, produk makanan harian tersebut akan berada di pasaran sebelum drama Mak Cun musim baharu ditayangkan sekitar April tahun depan.
Tambahnya lagi, idea untuk serius menghasilkan produk makanan jenama bermula daripada impak luar biasa yang diterima menerusi drama dan teater berkenaan. Sekarang pun ramai yang bahasakannya Mak Cun! Baginya Mak Cun bukan watak drama semata-mata, tetapi seorang usahawan sebenar.
Tahniah buat Erma, nanti selepas produk makanan keluar jangan lupa bagi Mizz Lahar cuba. Selamat maju jaya dengan produk Mak Cun.
Mizz Lahar: Nampak lawa, nampak lawa macam ‘gajjah’. Kelakar pula tapi itu bukan iklan tau, Mizz Lahar saja terfikir pasal jenama pakaian Gajjah by Enot yang khusus untuk wanita bersaiz besar milik Enot. Sedap nama ‘gajjah’, kenapa tak ‘baddak’? Okey, bye.