JUARA Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana, 32, semakin tidak duduk diam menerima banyak undangan persembahan di merata negeri.
Kesibukan jadual kerja menyebabkan ibu tunggal ini kurang meluangkan masa bersama anaknya, Mohd Rayyan Nakhie,8.
“Ada juga anak mengeluh kerana jadual kerja saya yang padat dan kami jarang berjumpa. Dalam seminggu kadangkala hanya sehari sahaja saya dapat berjumpa dengan anak.
“Dia (Rayyan) selalu cakap saya sibuk dan sering bertanya adakah saya akan berada lama di rumah. Jika sibuk bekerja, ibu bapa saya yang akan menjaga anak.
“Biasanya saya akan belikan mainan untuk pujuk hati anak. Walau sudah berusia 8 tahun dia masih sukakan mainan,” cerita Siti Nordiana atau mesra disapa Nana.Kembali menjadi perhatian ramai, Nana mula merasakan seperti mana yang pernah lalui ketika di awal kemunculan dahulu dengan lagu-lagu seperti Cinta Hanya Sandaran, Memori Berkasih dan Paling Comel.
Belajar dari pengalaman sendiri, Nana kini lebih prihatin dan tahu untuk menghargai peminat. Bahkan pada zaman moden ini, peminat di laman sosial juga harus diberi tumpuan.
“Saya seronok dengan penerimaan peminat sekarang ini sehingga terlupa diri ini sudah dikenali semula. Ada masanya saya terlupa untuk bersolek ketika keluar rumah.
“Saya pernah melalui situasi seperti ini dahulu. Kalau dulu saya sering mengelak untuk bergambar bersama peminat jika terlalu penat. Tetapi sekarang walau sedang makan sekalipun saya harus layan peminat yang mahu bergambar.
“Mereka (peminat) adalah orang yang telah menaikkan saya semula. Mungkin ada antara mereka ini yang merupakan peminat setia saya.
“Komen di laman sosial menunjukkan mereka prihatin. Teguran peminat membuatkan saya lebih sedar dan memperingatkan saya jika terlepas pandang tentang sesuatu perkara.
“Saya hanya wanita biasa yang belum sempurna dan masih mencari arah untuk menjadi lebih baik. Saya harap peminat tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi,” ujar Nana
Tags:
BP