Che Ta nak hadiahkan kereta Nissan GT-R untuk anak kedua
Selepas menghadiahkan anak sulungnya, Ammar Effendy sebuah kereta mewah jenis BMW kerana cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu, pelakon dan pengacara popular Rozita Che Wan, 43, mahu membelikan kereta jenis Nissan GT-R untuk anak keduanya, Aniq Ezzra, 18, pula.
Aniq yang sedang menunggu keputusan SPM dijanjikan hadiah kereta itu sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia memang menjanjikan habuan untuk anak-anaknya tetapi dengan syarat mereka perlu cemerlang dalam pelajaran.
“Aniq mahu dibelikan kereta Nissan GT-R. Jadi, saya cakap boleh jika dapat 9A1 dalam SPM. Insya Allah, saya yakin dia mampu memperoleh keputusan begitu memandangkan keputusan percubaan SPM lalu mencapai sasaran,” katanya.
Menurut Rozita, anak-anaknya itu turut diberikan elaun mingguan.
“Dulu saya tidak menikmati seperti anak saya dapat hari ini. Jadi, apabila saya diberikan rezeki lebih, tidak salah jika saya berbelanja untuk mereka. Namun, untuk mendapatkan apa diinginkan, mereka perlu berusaha,” katanya.
Sumber: Harian Metro