Susulan pengumuman dua produk Qu Puteh yang ditarik balik di pasaran, Datuk Seri Hasmiza Othman akan mengembalikan wang pelanggan.
Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd berkata pelanggan yang sudah membeli Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block boleh berjumpa pengedar atau hadir ke pejabat syarikatnya.
“Bayaran balik penuh tidak ada masalah. Mereka boleh datang ke kaunter kami.
“Datang kepada pengedar atau pejabat Vida Beauty pun tidak apa,” katanya, yang mesra dipanggil Dr Vida, kepada ProjekMMO.
Hasmiza menarik balik dua produk itu di pasaran selepas Kementerian Kesihatan di Malaysia dan Brunei mendapati ia mengandungi merkuri.
Malaysia mengharamkan penjualan Qu Puteh Whitening Pro 9 selepas ujian mendapati krim pemutih ini mengandungi paras merkuri atau raksa yang tinggi.
Sementara Brunei pula melarang dua krim jenama itu, termasuk Qu Puteh Whitening UV Block, diimport dan dijual di negaranya.
Dihubungi semalam, Hasmiza menggesa pelanggan tidak bimbang menggunakan keluarannya.
“Diharapkan pengguna semua tidak risau menggunakan produk Qu Puteh kerana yang lain melepasi piawaian (keselamatan) yang ditetapkan,” katanya.
Jutawan kosmetik itu juga berkata setakat ini belum ada pengguna yang mengadu menerima kesan sampingan daripada produk Qu Puteh.
“Tidak ada. Sebab itu, di saat macam inilah keluar (kontroversi ini) semua.
“Saya tidak mahu perkara kecil ini menjatuhkan apa yang saya usahakan selama ini. Lagi pun ini bukan produk utama saya,” katanya.
Sumber : Malay Mail