Kemaskini Bajet 2016 Akan Tambah Pendapatan Rakyat - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dalam waktu terdekat diharap tidak akan menjejaskan program khusus bagi membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata jika terdapat mana-mana pemotongan dalam keputusan itu, ia tidak sepatutnya daripada senarai bantuan untuk kebajikan rakyat.
Beliau berharap kebajikan membabitkan kos sara hidup rakyat itu akan diutamakan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.
Selain itu, kerajaan juga perlu memperhebatkan lagi usaha dalam meningkatkan pendapatan rakyat dengan berpaksikan kepada realiti semasa.
"Pada saya, kebajikan untuk rakyat bagi mengatasi kos sara hidup perlu diutamakan dan ini adalah harapan peribadi saya supaya ia tidak terlibat dalam pemotongan atau pengubahsuaian bajet yang dilakukan. Satu lagi harapan saya ialah kerajaan boleh memperhebatkan usaha untuk menambah pendapatan rakyat" katanya selepas meninjau persiapan program Rantaian Kasih di sini.
Bagi tujuan itu, beliau berkata pihaknya akan mengadakan forum Tambah Pendapatan Rakyat pada 17 Januari ini di Hotel Seri Pasifik antara jam 2 petang hingga 5.30 petang.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengubahsuaian kepada bajet 2016 ekoran situasi ekonomi dunia yang tidak menentu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perubahan pada Bajet 2016 membabitkan beberapa aspek supaya ia lebih realistik dengan situasi terkini.
-Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post