Jika bukan kerana kecekalan dan kerja keras pekerja JKR meneruskan pembinaan Jalan Raya Timur Barat,barangkali hari ini pemandu kenderaan dari utara, barat Semanjung terpaksa menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer jauhnya ke Kelantan dan Terengganu.
Namun, dengan pembukaan jalan raya tersebut,perjalanan dipendekkan menjadi beberapa ratus kilometer dan pengguna tidak perlu mengambil masa seharian untuk sampai ke destinasi yang dituju. Sehubungan itu, tidak keterlaluan jika jasa dan pengorbanan pekerja JKR itu dikenang sepanjang masa apatah lagi mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa berhadapan ancaman komunis demi menyiapkan jalan raya berkenaan.
Projek yang menelan kos RM205 juta itu mula dibina pada 1967 dan telah dibuka kepada lalu lintas pada 1 Julai 1982. Proses pembinaan jalan raya sajauh 123 kilometer itu bagaimanapun sering mengalami gangguan akibat perbuatan khianat komunis menyebabkan projek itu mengambil masa hampir 12 tahun untuk disiapkan.
Setelah dibuka kepada awam, pihak tentera masih membuat kawalan ketat ke atas Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan. Pemandu dikenakan syarat memohon pas atau permit keselamatan setiap kali menggunakan laluan berkenaan.
Pengguna bagaimanapun hanya boleh melalui jalan raya ini pada waktu siang sahaja sementara perjalanan pada waktu malam tidak dibenarkan atas sebab-sebab keselamatan. Penggunaan pas itu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna di sepanjang Jalan Raya Timur Barat berikutan ancaman yang diberikan oleh komunis.
Namun pada tahun 1983, Menteri Besar Kelantan pada ketika itu Datuk Mohamad Yaakub telah mengumumkan penamatan penggunaan pas selepas mengahadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan / Perak di Kota Bharu.
Meskipun syarat penggunaan pas sudah ditamatkan, pemandu masih tidak dibenarkan melalui jalan raya tersebut pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diigini berlaku namun, system kawalan keselamatan yang ketat itu dimansuhkan setelah komunis menyerah diri sepenuhnya pada tahun 1989.