Hari ini tanggal 11 Januari, sepatutnya menjadi detik sangat bermakna buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kerana selain menyambut ulang tahun ke-37, beliau juga merancang untuk mengesahkan dan bercerita akan berita kehamilan pertamanya kepada umum.
Bagaimanapun hajat isteri kepada Datuk Seri Khalid Jiwa ini tidak kesampaian apabila dia mengalami keguguran pada usia kandungannya memasuki fasa dua bulan.
“Siapa yang tidak mahu berkongsi berita gembira dengan semua orang, memang kami sudah merancang jika kandungan itu umurnya panjang saya akan kongsi pada hari lahir saya.
“Tetapi Allah lebih mengetahui yang terbaik. Saya reda dan terima keguguran ini dengan hati yang terbuka,” katanya yang menyambut ulang tahun kelahirannya tahun ini, di Jakarta, Indonesia.
Disebalik segala kesedihan akibat kehilangan itu, terselit hikmah apabila ia sekali gus memberi makna bahawa Siti Nurhaliza juga mampu untuk hamil seperti wanita berkeluarga lain.
“Usia kehamilan yang sekejap itu membuktikan yang baik Siti, mahupun suami berada dalam kesihatan yang baik.
“Ia memberi harapan yang baik untuk kami punya cahayamata sendiri pada masa depan, cuma ia berbalik kepada rezeki.
“Saya tidak terkilan, semua ini sudah ditentukan untuk saya melalui episod keguguran. Bagaimanapun mungkin saat saya menerima berita gembira ini juga Allah tetap uji saya. Kadang kita rasa ini yang terbaik, tetapi Allah lebih tahu apa yang terbaik sebenarnya untuk hamba-Nya,” katanya.
Justeru, pada 2016 ini, dia sudah membuat ketetapan untuk mengurangkan aktiviti seni demi memberi tumpuan serius kepada soal memiliki cahayamata. Apa yang pasti, tidak akan ada konsert atau persembahan dalam skala besar sepanjang tahun ini.
“Bila Allah bagi peluang kepada saya untuk mengandung walaupun hanya sekejap, saya anggap itu satu petunjuk, masih ada peluang, jadi selepas ini saya perlu lebih berhati-hati.
“Bagaimanapun bukanlah saya akan terus berehat, cuma konsert-konsert besar saya akan hentikan dan hanya akan mengambil persembahan-persembahan yang tidak terlalu memerlukan persiapan yang ketat,” katanya yang akan menyambut ulang tahun ke-37 esok, di Jakarta, Indonesia.
Pada November tahun lalu media melaporkan Siti Nurhaliza mengandung sekitar dua bulan, meskipun pada ketika itu, penyanyi berkenaan belum membuat pengakuan terbuka mengenai hal tersebut.
Pada 1 Disember Siti akhirnya berkongsi kisah sedih yang dirinya telah mengalami keguguran.
sumber : Utusan Malaysia