Suami menangis sambut anak – HANEZ SURAYA

MENERUSI laman Instagram miliknya, pelakon Hanez Suraya berkongsi gambar anak pertamanya yang lahir pada 29 Disember lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. Bayi perempuan dengan berat 3.5 kilogram itu selamat dilahirkan pada pukul 9.48 malam.

Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha pada Mac lalu. Romie sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lelaki, Putera Areeshah dan Putera Rayqarishah.

“Saya dapat rasakan satu perasaan yang sangat berbeza ketika melahirkan anak pertama. Barulah saya tahu bagaimana pengorbanan seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkan anak.

“Suami sudah tentulah sangat gembira kerana memang mahukan anak perempuan sehingga dia mengalirkan air mata kegembiraan ketika menyambut kelahiran bayi kami,” ungkap Hanez.

Hanez memberitahu Mangga Online beliau akan menjalani tempoh berpantang di kediaman mereka yang baru siap diubahsuai oleh suami khas untuk menyambut bayi perempuan sulung. Selain mendapat bantuan ibu sendiri Hanez juga menggunakan khidmat bidan sepanjang proses berpantang.

Hanez dan suami sama-sama setuju untuk memperkenalkan nama anak mereka selepas tujuh hari bersalin.

Bercerita tentang anaknya, Hanez sama sekali tidak akan lokek untuk berkongsi gambar anak di laman sosial.

“Kenapa saya perlu sorokkan anak sendiri? Kalaulah ada yang kurang senang saya kongsikan gambar anak sendiri, rasanya mereka itu yang punya masalah.

“Saya harapkan dengan kelahiran anak pertama ini dapat menutup mulut-mulut jahat yang sering berkata tidak baik tentang saya sebelum ini,” ujar Hanez.

Bercakap soal kerjaya lakonan, Hanez akui memang rindu untuk kembali ke lokasi setelah lebih dua tahun tidak terlibat dengan penggambaran.

“Memang rindu untuk berlakon, kalu boleh Hanez mahukan watak yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton dan orang akan ingat watak tersebut.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang masih belum beri jawapan bila akan kembali berlakon. Rasa sayang untuk tinggalkan anak di rumah. Barulah saya tahu perasaan rakan-rakan sebelum yang selalu mahu segera pulang ke rumah kerana anak,”cerita Hanez.

Post a Comment

Previous Post Next Post