TMJ: Bayar dulu gaji pemain, jangan ghairah cari penaja saja
Pasukan-pasukan bola sepak diingatkan agar membayar tunggakan gaji pemain dan jurulatih sebelum ghairah mengejar penajaan jutawan.
Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkata sebagai penaung Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Malaysia, baginda tahu jumlah pemain yang belum dibayar gaji.
“Semua pasukan dilihat begitu ghairah mendapatkan tajaan daripada mereka untuk memantapkan pasukan mereka,” kata Tunku Mahkota Johor.
“Usahlah terlalu mengejar trofi semata-mata sehingga melupakan perkara yang lebih penting. Pemain-pemain dan jurulatih bolasepak mempunyai keluarga untuk disara.”
Menulis di laman rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) di Facebook, baginda juga mengingatkan bahawa pemain dan jurulatih “ini manusia, bukan ternakan”.
“Utamakan dahulu nasib mereka daripada terlalu sibuk dengan trofi yang hendak diraih,” kata baginda lagi, yang turut dikenali TMJ.
Baginda bagaimanapun memuji langkah hartawan yang berhasrat menaja pasukan bola sepak negara, yang dianggapnya satu langkah positif.
Selepas Kelantan ditaja produk kosmetik Qu Puteh dan Pamoga, kini makin banyak produk kecantikan berhasrat menaja kelab bola sepak bagi musim ini.
Syarikat D’Herbs Holding Sdn Bhd sedang menimbangkan untuk menaja juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor.
Nouvelles Visages pula merancang menaja Selangor dan JDT, juara Piala AFC tahun lalu.
Satu lagi syarikat kosmetik Megah Perawan Sdn Bhd bakal menaja pasukan Liga Perdana, PKNS.
Sumber : Malay Mail