CIPTA LIRIK LAGU BERUNSUR NASIHAT, FAIZAL TAHIR IKUT SELERA GOLONGAN MUDA


Penyanyi Faizal Tahir akui kini lebih selesa mencipta lirik yang lebih jelas dan mudah difahami golongan muda.

Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, pendekatan tersebut diambil kerana ia merupakan salah satu cara untuk mendekati generasi baru semakin terdedah dengan perkara negatif.

“Seperti lagu Nabi Adam a.s ciptaan saya menerusi kempen 25 Rasul ini, saya sengaja buat lirik yang senang dihadam dan mudah difahami anak-anak kecil serta golongan remaja. Ianya bertujuan menjelaskan kepada  mereka untuk tanam dalam diri yang kita semua adalah sama sahaja.

“Saya cuba nak atasi isu semasa yang melibatkan masalah perkauman dan banyak sangat perkara negatif yang berlaku sekarang,” katanya kepada Astro Gempak.

Faizal ditemui ketika majlis pelancaran kempen 25 Rasul yang membabitkan 29 orang selebriti dan pendakwah popular tanah air yang akan ditayangkan di Astro Oasis (106) bermula dari 30 Mac hingga 6 Mei 2016.

Menurut Faizal, dia turut menukar gaya penulisan liriknya kerana ingin mendekati golongan muda.

“Sekarang ini saya faham yang lirik harus lebih direct supaya orang mudah faham dan tak perlu banyak berfikir. Sebab kita kena sedar kalau nak atasi masalah-masalah yang banyak timbul masakini, golongan dewasa kena bantu dan dekat dengan anak-anak muda.

“Itu apa yang saya nampak, tambahan pula saya dah ada ramai anak. Mereka banyak bantu saya beri input bagaimana cara nak tacklegolongan remaja,” ujarnya..

Tambahnya lagi, tidak dinafikan sejak akhir-akhir ini dia gemar bekerjasama dengan generasi muda.

“Saya pecaya setiap orang dalam dunia ini ada padangan berbeza. Jadi kita perlu dengar pendapat generasi muda juga. Sebab itu saya suka bekerja dengan orang muda sebab saya belajar banyak benda baru daripada mereka setiap hari,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Mengangkat tema ‘Cara Cool Mengenai Rasul’, kempen 25 Rasul bakal mendekati penonton dengan tga kaedah utama iaitu Nyanyian Lagu, Puisi Moden dan Tazkirah.

Selain Faizal Tahir, selebriti yang turut menjayakan kempen ini adalah Hafiz Suip, Altimet, Salammusik, Hazama, Waris, Nadiya Nisaa, Hasnul Rahmat, Mizz Nina, Zahiril Adzim, Mira Filzah, Fynn Jamal, PU Hafiz, PU Azman, Ustaz Syed Kadir dan ramai lagi.

Album kompilasi berjudul 25 Rasul yang memuatkan tujuh buah lagu itu dijual dengan harga RM22.90 dan boleh didapati di kedai muzik terpilih selain boleh dimuat turun di iTunes.

Jangan lupa saksikan kempen tayangan isitimewa yang diberi nama 25 Rasul mulai 30 Mac 2016 di Astro Oasis (106) dan Maha HD (135).

Post a Comment

Previous Post Next Post