“Saya akan ambil tindakan saman malu kerana ada cubaan menjatuhkan reputasi saya,” tegas Timbalan Speakar Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain berkenaan insiden di hadapan Aman Central melibatkan dirinya pada 15 Mei lalu yang kini menjadi viral di laman sosial.
Menurutnya, tindakan itu diambil terutamanya kepada pihak yang memfitnah dirinya mencederakan seorang wanita, iaitu teman kepada lelaki yang mendakwa dia dipukul oleh Azmi.
“Saya akan buat laporan kepada pihak berwajib selepas menerima pandangan peguam agar tindakan diambil kepada mereka yang terlibat memburuk-burukkan keadaan tidak benar di laman media sosial.
“Fitnah dan viral itu boleh menjejaskan reputasi saya sebagai timbalan speaker dan Adun, malah menjatuhkan maruah keluarga saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Adun Bayu turut bersimpati dengan wanita yang terlibat dalam kejadian itu kerana dilayan buruk oleh teman lelakinya.
“Saya lihat apa yang berlaku kepada wanita itu. Masa dia dikasari, saya ada tegur sikap lelaki tersebut,” katanya.
Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 33 saat di hadapan Aman Central, Alor Setar memaparkan insiden pergelutan empat individu.
Dalam rakaman itu, Azmi didakwa mencederakan seorang wanita.
Dalam pada itu, dua individu tampil menjadi saksi kejadian berkenaan dan memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam kelmarin.
Azamuddin Mansor, 18, dari Kepala Batas, berkata, wanita berkenaan ditarik kasar sebelum ditolak masuk di tempat duduk belakang kereta.
Menurutnya, perkara itu berlaku selepas wanita berkenaan cuba menenteramkan lelaki berkenaan dari meneruskan pergaduhan.
“Saya hanya sedar kejadian ketika wanita berkenaan menarik lelaki itu supaya tidak teruskan pergaduhan. Kemudian Datuk (Azmi) dan anak-anaknya menuju ke kenderaan mereka semula.
“Tetapi lelaki itu menarik teman wanitanya dengan kasar dan menolak dia ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Selepas itu dua orang awam dilihat menghampiri lelaki itu untuk meredakan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Azamuddin berkata, dia tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selepas menyedari ramai pengguna media sosial bertindak membuat tuduhan melulu biarpun tidak mengetahui kejadian sebenar.
Seorang lagi saksi, Siti Hajar Azmi, 25, berkata, insiden berkenaan bukan hanya berlaku dalam tempoh 33 saat seperti yang dirakam.
“Ia berlaku lebih panjang dari itu. Waktu kejadian saya ada di seberang jalan. Apa yang saya nampak lelaki berkenaan bertindak kasar kepada wanita itu apabila menarik dan menolaknya masuk dalam kereta. Sikap lelaki itu memang kasar, wanita itu hanya mahu leraikan keadaan,” katanya.