Kurang ‘malu-malu kucing,’ makin ramai terima ‘speed dating’ halal

Kurang ‘malu-malu kucing,’ makin ramai terima ‘speed dating’ halal 

 

Bekerja sebagai jurutera teknikal sokongan, Firdaus Zulkefli, 27, mengakui langsung tidak sempat untuk mencari bakal suri kerana masa beliau banyak dihabiskan bertemu pelanggan.

Mendapat galakan daripada rakan-rakan, beliau memilih langkah untuk mencuba nasib melalui Halal Speed Dating (HSD), sebuah acara di mana para jejaka saling meluangkan masa dengan para gadis yang hadir untuk mencari pasangan sehidup semati.

“Saya satu saja masalah, saya bekerja. Yang ini pun baru balik kerja. Jadi tidak ada masa nak cari,” kata Firdaus ketika ditemui ProjekMMO di sesi kesembilan HSD semalam, sambil masih menggalas begnya.

Kurang ‘malu-malu kucing,’ makin ramai terima ‘speed dating’ halal

Kurang ‘malu-malu kucing,’ makin ramai terima ‘speed dating’ halal

Firdaus bukan keseorangan. Seramai 72 peserta lelaki hadir semalam untuk dipadankan dengan 72 peserta wanita di Pusat Konvensyen TM sini, dalam edisi yang diwar-warkan sebagai yang “terbesar” oleh penganjurnya.

Walaupun masih ada peserta lelaki “malu-malu kucing” hadir mendaftar, tetapi bilangan mereka sudah seimbang dengan peserta wanita, jauh sekali daripada nisbah edisi sebelumya di mana cuma terdapat satu lelaki berbanding lima wanita.

“Kali ini kami jangkakan pendaftaran peserta 144 orang: 72 lelaki dan 72 wanita,” terang ketua pegawai operasi HalalSpeedDating.com, Munirah Tunai Shamsidi.

“Pada awal program yang kita anjurkan kehadiran kuota lelaki cuma satu nisbah lima tetapi sekarang alhamdulillah kita dapat cukupkan peserta dan pastikan ia seimbang.

“Kita tak mahu situasi dalam satu kumpulan ada enam lelaki dan 12 perempuan. Ia tidak adil,” tambah beliau.

Tiba setelah sesi pertama di waktu pagi tamat bertukar kepada sesi tengahari, ProjekMMO meneliti secara purata peserta yang mengikuti HSD adalah belia Melayu berumur antara awal 20-an hingga lewat 30-an.

Kebanyakan peserta berkerjaya, namun tiada masa untuk mencari pasangan hidup kerana kekangan masa dan terlalu fokus dalam karier masing-masing.

Ada juga segelintir yang masih bergelar siswazah samada dalam peringkat sarjana, kedoktoran, serta ijazah sarjana separuh masa.

“Kami juga pernah menerima peserta (lelaki) bukan Islam yang mahu mencari [jodoh]. Dia kata nak belajar dan mendalami Islam jadi kita benarkan dia turut serta,” dedah Munirah.

Pernah mencuba nasib di portal myJodoh dan beberapa kumpulan dalam aplikasi borak WhatsApp sebelum ini, Firdaus tertarik dengan konsep “halal” dan “temu janji ditemani keluarga” yang ditawarkan HSD sebelum berkenalan ke peringkat lebih jauh.

“Saya tak harapkan apa-apa, cuma nak tengok perjalanan [kaedah] ini dahulu. Saya cuba kalau program ini bagus saya akan cadangkan kepada kawan-kawan yang lain,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

HSD merupakan buah fikiran Munirah dan suaminya Zuhri Yuhyi sejak tahun lepas. Konsepnya tidak lain seperti acara “speed dating” biasa di mana para peserta diberi masa terhad untuk berbual dan berkenalan sesama sendiri.

Bezanya? Peserta wanita akan ditemani penjaga mereka yang akan mengawasi perbualan dan interaksi dengan bukan mahram, selain saringan ketat untuk mereka yang sungguh-sungguh mahu mencari jodoh.

Cuma mereka yang melepasi saringan penganjur akan dijemput hadir, dan tiket untuk menyertai acara ini berharga RM120 sekepala, atau RM80 untuk mereka yang mendaftar awal.

Walaupun pada mulanya konsep jodoh melalui HSD kedengaran kekok bagi Aisyah Mohammad, 58, kerana berbeza generasi, namun ia tidak menghalang beliau menemani anak bongsunya mengikuti program itu.

“Kadang kala internet pun bahaya juga, lagi banyak penipuan. Bagi gambar dan maklumat tipu.

“Kalau cara begini elok juga sebab kita dapat tengok budak (peserta lelaki) itu dan kita pun boleh agak rupa dia macam mana, kita boleh tanya dia. Kata orang lagi telus.

“Tapi tak semestinya jumpa. Kalau ada jodoh adalah, ni pertama kali nak tengok cara begini boleh atau tidak,” katanya yang menetap di Ulu Kelang, di sini.

Aisyah berkata, kesibukan anak perempuannya yang bekerja dan menjadi penuntut ijazah sarjana muda teknologi maklumat separuh masa di Universiti Malaya menyebabkan beliau tidak banyak masa untuk mencari teman hidup.

“Kita ni makin lama makin tua. Kata orang biarlah sebelum pejam mata kita tengok dia kahwin dan ada orang jaga dia,” katanya.

Sumber : Malay Mail

 

 

Post a Comment

Previous Post Next Post