Pengorbanan seorang ibu jelas terbukti dengan apa yang cuba dilakukan pelakon Diana Danielle Danny Beeson pada sepasang anaknya.
Diana, 25, berkata beliau tidak kisah terpaksa memakai baju di pasar malam asalkan hasratnya untuk membeli rumah untuk anak-anaknya tercapai.
“Saya tidak kisah membeli baju di pasar malam asalkan tidak membazir wang. Saya sudah puas mengecapi apa yang dikehendaki ketika remaja dulu.
“Jika teringin baju baharu, saya akan mendapatkannya di pasar malam,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
“Saya simpan wang untuk masa depan anak kerana ingin membelikan setiap mereka rumah.”
Pelakon filem Hanyut berkahwin dengan pelakon dan pengarah Farid Kamil pada November 2012.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 3, dan Nur Aurora, tujuh bulan.
Diana berkata fokusnya kini banyak diberikan untuk membesarkan anak-anak mereka menyebabkan beliau jarang kelihatan di televisyen.
“Hari ini saya mencari rezeki untuk anak-anak. Jika dulu saya pakai barangan berjenama, tetapi ia kini bukan lagi keutamaan.
“Selepas Muhammad lahir, saya tidak lagi keluar membeli-belah untuk diri sendiri. Baju, beg dan kasut yang dibeli dulu masih boleh digunakan, tidak perlu membazir,” katanya.
Sumber: Projek MMO