Tiada apa yang lebih menggembirakan buat seorang ibu tunggal cacat penglihatan, selain kehadiran anak-anak untuk bersama beliau menjalani ibadah puasa pada tahun ini.
Azizah Awang Kechik, 62, yang baru kehilangan suami meluahkan perasaan itu apabila tiga anaknya meninggalkan beliau setelah masing-masing berumah tangga.
“Makcik makan tujuh biji kurma dengan teh ‘O’ sahaja untuk sahur, cukuplah ala kadar. Makcik tak ada sesiapa dah,” luah warga emas itu dengan sayu ketika ditanya persiapan beliau sempena ketibaan Ramadan hari ini.
Bagi menghilangkan rasa kesunyian, Azizah tegar meneruskan hidup dan mencari pendapatan tambahan dengan menjual tisu muka di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
“Makcik tinggal seorang. Anak-anak ada tapi dah kahwin masing-masing buat hal sendiri, tak pelah,” katanya ketika menceritakan kepada penulis kisah sedih yang menyelubungi nasibnya ketika ditemui dalam tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Warga emas yang cacat penglihatan sejak dilahirkan itu hanya berharap anak-anaknya tidak melupakan beliau yang sentiasa mendahulukan mereka dalam setiap perkara.
Rokiah Ahmad, 63, dari Jalan Datuk Keramat pula berkata, saban tahun persiapan beliau menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan itu dilakukan secara kecil-kecilan sahaja.
“Keluarga makcik kecil, suami dan anak lelaki sahaja. Jadi, juadah sahur ringkas, asalkan dapat mengisi perut cukup,” katanya.
Beliau yang juga cacat penglihatan akibat kemalangan berkata, setiap tahun mereka hanya membuat persiapan ringkas bagi menyambut Ramadan dan Syawal kerana kekangan kewangan.
Bagi pelajar universiti awam, Mastura Mat Khori, 22, Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah tempat persinggahan wajib baginya untuk membeli-belah juadah berbuka dan barangan keperluan musim perayaan setiap bulan Ramadan.
“Harga barang-barang sini berpatutan, senang dapat. Saya tidak kisah berbelanja sakan setahun sekali, janji seronok masa Hari Raya nanti,” katanya yang menggemari ayam percik sebagai juadah berbuka puasa.
Hari ini adalah hari pertama umat Islam berpuasa dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sekali lagi menjadi tumpuan warga kota, meriah dengan kehadiran peniaga dan penjaja menawarkan beraneka kuih-muih, pakaian dan kelengkapan raya.
– BERNAMA
Sumber: Free Malaysia Today