Ibu Kongsi Rahsia Semua Anak Khatam Quran Seawal Lima Tahun


Tekad untuk melihat anak-anaknya menguasai al-Quran pada usia muda, seorang ibu mula membudayakan amalan pembacaan ayat-ayat suci itu ketika sedang mengandung.

Sanarehan Sidik, 36, berkata hasil usaha yang dilakukannya itu, empat anaknya iaitu Anis Batrisyia Razanee, 13, Anis Damia Razanee, 12, Ahmad Darwish Razanee, 9, dan Aflah Hannan, 7, mampu membaca al-Quran seawal usia tiga tahun dan berjaya khatam pada usia lima tahun.

"Setiap kali mengandung, saya akan membaca al-Quran ataupun memperdengarkan bacaan menerusi cakera padat. Saya jadikan ia sebagai rutin sehingga hari kelahiran," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Salor di sini, baru-baru ini.

Sanarehan berkata usaha berkenaan tidak hanya terhenti di situ sahaja, malah apabila bayinya berusia dua tahun, mereka mula diperkenalkan dengan petikan perkataan pendek ayat al-Quran yang dicetak di atas kad imbas.

"Saya mempraktikkan cara kad imbasan yang dibuat sendiri setiap masa sebagai selingan seperti ketika anak makan dan bermain, bahkan ketika berjalan saya pastikan sentiasa membawa kad imbas di dalam beg.

"Jika ada waktu seperti menunggu giliran mendapatkan rawatan anak di klinik, saya keluarkan kad dan baca bersama anak," katanya.

Beliau berkata walaupun ketika itu anaknya belum boleh bercakap namun dia yakin amalan itu mampu memudahkan anaknya menguasai al-Quran.

"Saya amat percaya otak kanak-kanak seperti span yang senang menyerap maklumat terutama ketika awal usia mereka, namun proses pembelajaran itu bukan sesuatu yang mudah dan perlukan kesabaran yang tinggi.

"Anak saya seperti kanak-kanak biasa yang lain juga. Mereka juga meragam, lebih seronok bermain di luar, menangis dan merajuk, tetapi sebagai ibu saya sentiasa berdoa, istiqamah dan proaktif mengajar mereka dengan pelbagai kaedah berbeza kerana setiap anak mempunyai tahap tumpuan tidak sama," katanya.

Sanarehan, yang juga seorang guru perakaunan, berkata walaupun bukan dari lulusan jurusan agama beliau menggunakan ilmu yang diwarisi daripada keluarganya untuk menyemai rasa cintakan al-Quran kepada anak-anaknya.

"Sejak kecil saya didedahkan dengan kitab suci itu. Belajar mengaji al-Quran memang rutin saya dan nenek sangat tegas mengajar hingga saya mampu khatam al-Quran pada usia sembilan tahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berjaya menghasilkan sebuab buku berjudul "Rahsia Khatam al-Quran Pada Usia 5 Tahun" dua tahun lepas selepas diminta oleh beberapa ibu bapa yang memintanya berkongsi pengalaman mendidik anak khatam al-Quran pada usia muda.

Sanarehan turut bergiat aktif dalam komuniti setempat melalui ceramah dan seminar keibubapaan berkonsepkan Islam.

- Bernama

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post