Tiada apa yang perlu disesali selepas Pasukan Bolasepak Kedah (KFA) menolak tajaan D’Herbs Holdings, kata usahawan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
Aliff, atau dipanggil juga “Abang Terlajak Laris”, berkata walaupun timbul rasa terkilan pada mulanya namun perasaan itu kini beransur-ansur hilang.
“Tentang bola sepak, saya sudah malas hendak masuk campur. Buat masa ini belum lagi mahu menaja. Hati saya tidak terbuka lagi.
“Orang kata kami buat gimik. Tidak ada gimik pun tidak apa kalau malu macam ini.
“Kami bukan miskin pun kalau tidak taja bola sepak. Bukan hendak kurang ajar tapi hati ini sudah kecewa,” katanya kepada ProjekMMO.
Awal bulan lalu, KFA mendedahkan permintaan tanah kira-kira 60 hektar dekat Pokok Sena yang dianggar bernilai RM80 juta antara punca Kedah menolak tajaan D’Herbs Holdings.
“Daripada 49 syarat terbabit, sekurang-kurangnya lima syarat dilihat terlalu sukar untuk dipenuhi oleh KFA,” naib presidennya Datuk Badrol Hisham Hashim dipetik berkata.
“Selain tanah, D’Herbs mahukan hak ke atas papan iklan di setiap daerah di Kedah dengan hak penyiaran iklan diuruskan syarikat milik D’Herbs.”
Bagaimanapun, Aliff kemudian menafikan dakwaan itu dan menawarkan RM100 juta kepada mana-mana pihak yang berjaya membuktikan perkara berkenaan.
“Saya tak gila minta tanah orang secara percuma. Semua benda dalam dunia ini berbayar.
“Sidang media ini saya lakukan untuk membersihkan nama saya kerana ada orang Kedah mengecam saya, dakwa saya mahu merampas tanah orang Kedah secara percuma,” katanya.
Bercakap kepada ProjekMMO minggu lepas, Aliff berkata sebelum ini pernah diingatkan agar berhati-hati sebelum menaja pasukan bola sepak namun beliau tetap berfikiran positif.
Tidak menjadi masalah jika KFA mahu mengundurkan diri tetapi ia perlu dilakukan secara baik, tambahnya.
“Mereka sudah janjikan bulan dan bintang. Kalau tidak setuju, saya boleh terima tetapi tolaklah secara baik. Bukan keluar kenyataan begitu.
“Saya profesional. Kalau tidak suka, cakaplah apa yang kita boleh leraikan,” katanya.
“Sebenarnya perkara ini menghantui juga tapi tidak bolehlah kita tunjukkan yang kita ini lemah. Kami perlu nampak kuat dan tidak kecewa.
“Sebelum ini pun ramai menasihati saya tetapi saya kuatkan semangat percaya benda ini tidak akan berlaku tetapi tidak sangka berlaku pada saya. Saya anggap ini cabaran.”
Sumber: Projek MMO