Pengasuh Filipina sanggup beli azimat ‘halimunan’ untuk lepas imigresen tapi malangnya dirinya jelas dilihat

Seorang wanita berusia 25 tahun yang terdesak untuk bekerja di Dubai telah dipintas di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (Naia) selepas tangkal yang kononnya dapat membuatkan dirinya ghaib daripada dilihat ejen imigresen, gagal berfungsi.

Pengasuh Filipina Gagal Ke Dubai Selepas Tangkal Azimat Gagal Berfungsi Di Lapangan Terbang

Pengasuh Filipina Gagal Ke Dubai Selepas Tangkal Azimat Gagal Berfungsi Di Lapangan Terbang

Pasukan petugas khas Naia memerangi Pemerdagangan Orang (Naia-TFATP) berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan perekrut tanpa izin yang menganiayai dan merekrut pengasuh dari Batangas ini bekerjasama dengan ‘orang dalam’ lapangan terbang.

Menurut pasukan petugas itu, mangsa telah diarahkan oleh perekrut untuk mengelakkan diri daripada imigresen, meyakinkan mereka bahawa terdapat ‘seseorang’ di lapangan terbang sedang menunggu di belakang kaunter, bersedia untuk memberikan cop Biro Sempadan Imigresen (BIBS) pada pasport mangsa.

Laporan daripada Naia-TFATP berkata pengasuh yang akan ke Dubai itu yang menyamar sebagai pelancong telah dipintas pada pukul 2 petang, 20 Mei selepas dia ditangkap ketika cuba mengelak daripada kaunter imigresen di lapangan terbang.

Ini merupakan percubaan ketiganya untuk meninggalkan negara ini.

Sebelum ditangkap, dia cuba meninggalkan negaranya pada 17 dan 19 Mei, kedua-dua kali melalui Terminal 1 Naia.

Ketika percubaan pertama, dia memberitahu pegawai imigresen dia adalah seorang pelancong di mana perjalanannya ke Dubai dibiayai oleh bapa saudara. Tetapi mereka tidak membenarkannya berlepas selepas gagal menunjukkan dokumen untuk membuktikan dakwaannya.

Kali kedua, pada 19 Mei, dia cuba untuk melangkau kaunter imigresen. Apabila ditangkap, dia berkata ‘bapa saudara’nya mengarahkan supaya dia tidak menjalani pemeriksaan imigresen.

Apabila ditahan dan disoal pada 20 Mei lalu oleh pasukan petugas itu, mangsa mendakwa dia terdesak berbuat demikian setelah melihat iklan tawaran kerja di luar negara yang disiarkan di Facebook.

Tambahnya, dia telah ditawarkan kerja di Dubai sebagai pengasuh dengan penerbangan dan penginapan percuma serta gaji bulanan sebanyak 2,500 Dirham (RM2,800).

Perekrut memintanya membayar 16,000 peso (RM1,412) sebagai yuran pemprosesan dokumen perjalanan.

Pada 12 April, dia mendapat visa pelancong Emiriah Arab Bersatu dan penerbangan ditempah pada tarikh 17 Mei.

Dia mendakwa, sebelum penerbangannya dijadualkan, dia telah diberikan e-tiket dan afidavit aku janji. Dia turut menerima salinan pasport lelaki yang tidak dikenalinya yang akan bertindak sebagai bapa saudara yang menaja perjalanannya ke Dubai.

Kali ini, untuk memastikan dia dapat ‘terlepas’ daripada imigresen, wanita itu berkata, dia telah membeli tangkal ‘azimat halimunan’.

Menurut laporan pasukan petugas: “Penumpang semasa siasatan dan kaunseling tugas pekerja sosial berkata bahawa dia terdesak untuk pergi ke luar negara kerana dia dan keluarganya dibebani hutang dalam usaha untuk bekerja di luar negara.”

Ia juga menyatakan: “Bimbang dia akan dilihat sekali lagi semasa mengikut arahan untuk mengelakkan imigresen, dia membeli azimat berharga 750 peso (RM66) daripada seseorang dari suku Aeta yang kononnya dapat membuatkan dirinya ghaib. Walau bagaimanapun, dia jelas sekali dapat dilihat dan telah ditangkap lagi.”

 

Sumber: MStar

Post a Comment

Previous Post Next Post