Rafidah Ibrahim Sudah Punya Kilang Sendiri

Sepi dari radar seni hiburan bukanlah bermakna penyanyi dan pelakon, Rafidah Ibrahim tidak laku, namun siapa sangka dalam diam sudah pun mempunyai bisnes yang dimiliki sendiri, R Secrets. Rafidah yang lebih mesra disapa sebagai Fida, memberitahu di sebalik kejayaan hari ini sebenarnya tersimpan rasa kecewa kerana orang yang banyak membantunya selama ini sudah menghembuskan nafas terakhir.

Mengakui mempunyai minat yang mendalam terhadap cabang bisnes, Fida yang sudah hampir lima tahun mengulas lanjut, dalam tempoh tersebut sudah banyak pelbagai bidang bisnes yang dicuba namun ada yang gagal dan ada yang kurang memuaskan.

“Sebenarnya saya sudah lama dalam bidang bisnes dan macam-macam saya buat, dari bidang kontraktor sehinggalah sekarang, kosmetik dan penjagaan diri. Dalam penglibatan bisnes sebelum-sebelum ini saya pernah juga gagal mungkin kerana tidak ada perancangan yang rapi. Namun alhamdulillah setelah itu, saya banyak juga belajar dengan orang-orang yang berjaya, mereka tidak kedekut ilmu.

“Walau bagaimanapun, saya agak terkilan sebab ada antara orang yang banyak membantu ketika susah senang saya sudah meninggal dunia. Selain insan itu, kakak saya Datin Sri Rozita dan Dato Maziah juga banyak membantu dan memberikan nasihat dalam selok-belok perniagaan.

“Saya bermula sebagai pembekal serum dengan mengedarkan kepada syarikat Kongsi Makan, selepas menerima keuntungan hasil usaha kerja keras mengedar serum, kini dapatlah kilang saya sendiri. Jadi, bukanlah bermakna saya tak berlakon atau sudah tidak menyanyi lagi, cuma saya fokus dengan bisnes saya. Bila segalanya sudah stabil dan sudah ada orang kepercayaan maka barulah boleh saya kembali semula dengan karier seni,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perkembangan karier seni, Fida baru sahaja merakamkan lagu terbaru dan akan dikeluarkan selepas hari raya nanti.

“Lagu terbaru baru saja habis dirakam sebelum puasa lagi dan insya-Allah akan keluar selepas hari raya nanti. Masih menggunakan konsep yang sama iaitu menyanyi bersama dengan kumpulan band dan ada juga penyanyi wanita dan rap seperti lagu sebelum ini, Apa Kono Eh Jang. Lagu bakal keluar nanti pun ciptaan orang yang sama iaitu Sheikh Qalam. Jadi, segala perbincangan dan susun atur lagu semuanya dibuat oleh Qalam, begitu juga dalam pemilihan kolaborasi yang dia merasakan saya sesuai untuk menyanyi bersama,” katanya mengakhiri perbualan.

Baca di website

Post a Comment

Previous Post Next Post