Selepas mendapat tempat ketiga menerusi program D'Academy Asia Indonesia, Shiha Zikir kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat Indonesia.
MH Online juga difahamkan pengaruh penyanyi cukup kuat di negara tersebut sehinggakan setiap kali kedatangannya di Indonesia, ada sahaja peminat yang akan menunggunya untuk bergambar bersama.
MH Online telah bertanyakan kepada mekap artis terkenal, Epie Temerloh yang selalu mengiringi Shiha ke Indonesia mengenai reaksi peminatnya di negara jiran kita itu.
“Benar, sewaktu tiba di lapangan terbang Indonesia, peminat sudah pun berada di sana, malah mereka seolah-olah sudah tahu kehadiran Shiha. Staff-staff di lapangan terbang turut menunggu sama.
"Mereka tidaklah sampai mengejar Shiha tapi menjerit-jerit memanggil nama Shiha dan ada juga yang mahu menarik baju Shiha. Shiha pula jenisnya suka melayan peminat dan sesiapa pun yang mahu berselfie atau berbual dengannya dia okay sahaja sehinggakan Shiha akan buka kasut tumit tingginya kerana lebih senang dan tidak penat berdiri lama.
"Ada juga yang sanggup tidur di luar hotel, beratur di luar tandas, semata-mata mahu bergambar dan berjumpa dengan Shiha," tambah Epie lagi ketika dihubungi.
Epie juga ada menyatakan, figura mirip penyanyi Rossa ini juga sudah mempunyai lima kelab peminat yang sangat aktif. Lima kelab peminat itu mewakili dari lima buah daerah besar di Indonesia, seperti di Jakarta, Banjarmasin dan lain-lain tempat lagi.
Hebatnya penerimaan Shiha di Indonesia, kalau dikira perkembangan selebriti itu di sana lebih kurang baru enam bulan, namun auranya di sana sangat memberangsangkan. Tahniah buat Shiha, semoga terus maju walau di mana sahaja berada.
Tags:
MEDIAHIBURAN