Siti Nurhaliza Rindu Bazar Ramadan

Berkongsi Ramadan yang akan datang ini, pelantun lagu Terbaik Bagimu Datuk Siti Nurhaliza memberitahu, dia sebenarnya teringin untuk mengunjungi ke bazar Ramadan, bukan kerana tidak pernah pergi tetapi kerana sudah lama tidak pergi.

“Siti teringin sebenarnya untuk turun ke bazar Ramadan kerana Siti banyak membesar di tempat-tempat seperti itu sejak kecil lagi. Bila melihat orang berniaga Siti suka sangat, namun bila dah pergi ke bazar, Siti pula jenis yang susah nak menolak tawaran peniaga, tidak sampai hati rasanya. Siti pernah berada di tempat penjual, jadi fahamlah perasaan mereka sama ada jualan itu akan dibeli ataupun sebaliknya.

“Oleh sebab itu, bila Siti pergi ke bazar, Siti akan intai terlebih dulu dari dalam kereta, selepas itu Siti akan tunjuk yang mana nak beli. Bagi Siti, pergi ke bazar Ramadan ibarat terapi diri, sebab memang suka melihat orang berniaga,” kata Siti yang menggemari kuih Karipap Sira dan Apam Balik.

Jelas Siti ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Simplysiti Sdn Bhd dan amaxMALL.

Tambah Siti lagi, pada bulan Ramadan juga Siti akan memperlahankan kariernya kerana mahu fokus dengan ibadah.

“Jika diikutkan sebelum ini Siti ada menyatakan mahu berehat dalam beberapa bulan, ya betul, namun itu lebih kepada konsert berskala besar. Tapi, jika ada undangan daripada kenalan suami, mestilah kena pergi.

“Di bulan mulia ini Siti sangat menantikan nikmatnya sembahyang terawih dan juga sahur. Kalau ada orang kata susah nak bangun sahur, bagi Siti itu pelik. Mungkin kerana didikan yang Siti jalani sejak kecil lagi. Waktu sahur Siti tidak ambil yang terlalu berat sangat, antaranya seperti roti telur ataupun nasi goreng sebab senang nak masak,” jelas Siti ketawa manis.

Menyentuh mengenai kariernya, Siti yang sudah hampir sedekad tidak mengeluarkan lagu raya, kini kembali dengan lagu raya berjudul Hari Kemenangan ciptaan sepenuhnya oleh komposer Pak Ngah.

Baca di website

Post a Comment

Previous Post Next Post