Suami Isteri sanggup suap anak perempuan guna mulut selama 15 tahun walaupun cuma anak angkat

Sepasang suami isteri di Shanxi memberi makan kepada anak perempuan mereka yang menghidap palsi serebrum dengan menyuap dari mulut ke mulut sejak 15 tahun lalu.

ZHOU memberi makan kepada Likun.

ZHOU memberi makan kepada Likun.

China News melaporkan, kanak-kanak itu sebenarnya anak angkat yang ditemui Li Huanmei – tukang cuci di sebuah hospital di Datong – pada 2001.

Kerana tidak sampai hati, dia membawa bayi itu pulang dan menjaganya bersama suami, Zhao Yuchun.

“Saya tahu bayi biasanya ditinggalkan ibu bapa di hospital kerana dilahirkan berpenyakit. Namun, saya tidak sampai hati melihat bayi itu.

“Dia kemudian disahkan menghidap palsi serebrum yang terlalu teruk sehingga tidak mampu menghisap susu,” katanya.

Li berkata, anggota keluarganya mendesak dia mengabaikan bayi itu, namun dia dan Zhao berkeras mahu menjaganya, malah memberi nama Zhao Likun kepada kanak-kanak terbabit.

Disebabkan penyakitnya, Likun memerlukan penjagaan rapi sepenuh masa, bererti dia tidak boleh ditinggalkan berseorangan langsung.

Sehingga kini, Likun tidak dapat mengunyah menyebabkan Li dan Zhao memberinya makan tidak ubah seperti burung kepada anaknya.

“Kami mengunyah makanan itu terlebih dulu sebelum memasukkannya ke dalam mulutnya.

“Proses memberinya makan mengambil masa dua jam dan dia memerlukan makanan tiga kali sehari, bererti lebih enam jam dihabiskan setiap hari untuk memberinya makan,” kata Zhao.

Malangnya, ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap kesihatan Zhao dan Li sendiri disebabkan mereka hanya sempat makan makanan sejuk selepas selesai memberi Likun makan.

Likun kini berusia 15 tahun, tetapi memiliki IQ setaraf kanak-kanak berusia tiga tahun.

Walaupun miskin, Li berkata mereka bahagia, sehingga dia didiagnos menghidap kanser tekak baru-baru ini.

Dia kini tidak lagi mendapatkan rawatan disebabkan tidak mampu.

“Tidak dinafikan kesihatan saya semakin teruk, namun saya lebih risaukan Likun. Harap-harap dia dapat menerima subsidi daripada kerajaan,” kata Li. – Agensi

 

Sumber: Harian Metro

Post a Comment

Previous Post Next Post