Pemandu GrabCar wanita tabah hadapi penumpang ‘gatal’, terutama warga asing

Pemandu wanita sudah biasa layan karenah penumpang lelaki yang suka bertanyakan soalan peribadi dan seksual.

Warga asing dan pelancong merupakan antara masalah dihadapi pemandu wanita GrabCar, perkhidmatan perkongsian kenderaan yang semakin popular.

grabcar-women-1

Tidak cukup dengan gangguan pemandu teksi, mereka juga dirundung kebimbangan mengenai keselamatan diri.

Seorang pemandu GrabCar wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wawa memberitahu FMT, sudah banyak kali dia terpaksa melayan karenah penumpang yang cuba “menggatal”.

“Mereka bertanya tentang kehidupan seks saya, suami saya… Saya berkahwin dan tiada anak, tetapi kadang-kadang lebih mudah memberitahu saya sudah ada anak bagi mengelak perbualan itu.

“Walaupun saya memberitahu mereka rumah tangga saya bahagia, ada yang berkata, ‘oh mungkin satu hari kamu diceraikan’,” kata Wawa.

Seorang lagi pemandu wanita, Dhian, yang sudah dua bulan menyertai GrabCar, berkata sering kali penumpang lelaki, terutama warga asing, bertanyakan perkara yang terlalu peribadi.

“Susah menjadi pemandu wanita, terutama bila terpaksa melayan warga asing,” katanya.

Jesy, ibu tunggal berusia 40 tahun, yang memandu GrabCar dari 6.00 pagi sampai tengah malam setiap hari, berkata setiap pemandu wanita menghadapi masalah sama.

“Walaupun saya beritahu mereka yang saya dah berumur 50 tahun, mereka masih cuba nasib dengan saya. Di samping itu, mereka juga tidak mengambil kami kaum hawa dengan serius.

“Contohnya, bila kami beritahu mereka supaya jangan minum arak dalam kereta kami, mereka buat tak tahu malah tidak akan membatalkan perjalanan. Kami selalu bimbang dan rasa terancam, tetapi tidak mempunyai pilihan,” kata Jesy.

Sementara itu, seorang pemandu teksi wanita yang enggan namanya disiarkan menceritakan kepada FMT suatu insiden di mana seorang penumpang warga asing enggan turun sehingga mendapat nombor telefonnya.

“Dia tidak mahu keluar dan tidak mahu bayar. Apa lagi perlu saya lakukan, saya beri sajalah,” katanya.

“Selalunya, orang bersopan. Jika kita percaya penumpang itu baik, kita akan mendapat penumpang baik.

“Tetapi sebagai wanita, perlu lebih berhati-hati daripada lelaki.”

Sumber : FMT



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post