Mengakui sedikit ralat dengan permintaan pihak penerbit itu, komposer lagu tersebut, Yusri Ishak menjelaskan, lirik lagu itu tidak mengandungi sebarang unsur-unsur negatif seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Namun, Yusri yang juga bapa kepada Aiman menghormati permintaan pihak penerbit dan telah menukar lirik lagu Ku Rela Dibenci kepada ayat yang lebih sesuai dan mengikut garis panduan seperti yang diminta.

“Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu tukar lirik. Lagu ini pun sudah menjadi siulan berjuta-juta peminat, jadi kalau ditukar lagu ini seakan hilang ‘roh’nya. Memang sedikit ralat tetapi, saya akur demi kebaikan semua,” katanya.

Lagu Ku Rela Dibenci mencetuskan fenomena tersendiri apabila mendapat tontonan lebih 21 juta di laman Youtube dengan lebih 8,000 komen.

Ia menjadi fenomena tidak kira dalam kalangan peminat dewasa sehinggalah kanak-kanak dan sekali gus meletakkan Aiman sebagai artis yang paling popular ketika ini dalam industri hiburan tempatan.

Dalam pada itu, Yusri juga menolak kritikan segelintir pihak yang mendakwa lirik lagu tersebut mempunyai kesan negatif seolah-olah mengajar pendengar untuk membunuh diri.

“Lagu ini sebenarnya menceritakan tentang seorang lelaki yang menghidapi penyakit kronik dan menunggu saat kematiannya. Wanita itu pula telah curang kepadanya, jadi dia sanggup dijemput lebih awal kerana sakit hati.

“Tiada pun unsur-unsur yang menjurus ke arah membunuh diri. Kalau tengok video muzik pun, memang lelaki tersebut sakit dan rela dibenci oleh perempuan itu untuk kebahagiaan kekasih hatinya,” katanya

Bagi penyanyinya, Aiman beranggapan penukaran lirik lagu sedikit sebanyak mengubah penjiwaan nyanyiannya. Malah, dia juga khuatir sekiranya peminat tidak dapat menerima tindakan menukar lirik lagu tersebut.

“Memang bila diminta tukar lirik ini, saya risau dengan penjiwaan. Tapi, saya akan berlatih dan buat yang terbaik. Saya tidak mempunyai apa-apa masalah dan akur dengan keputusan penerbit.

“Setakat ini, kami sudah merancang beberapa gimik persembahan untuk pentas akhir AJL 31 nanti. Cuma, akan ada sedikit perubahan sana sini dan selainnya, saya hanya mengharapkan yang terbaik,” kata anak muda berusia 18 tahun ini.

Mega HITS difahamkan, tidak banyak kandungan lirik yang diubah.

Ia cuma membabitkan ayat “Tak sanggup ku dibohongi, kurela dijemput Illahi”.

Ia telah diubah kepada 
“Tak sanggup ku dibohongi, ku rela mengundurkan diri. ”