Bercinta setahun rupa-rupanya belum cukup untuk pelakon jelita, Ezzaty Abdullah, 26, mengenali karakter sebenar suami tersayang, Azwan Kombos.
Hidup bersama selepas bernikah pada 16 Julai lalu, Ezzaty mula mengesan sifat pelik Azwan seperti gemar tidur lewat hingga awal pagi.
“Saya gelarkan suami burung hantu. Pada mulanya, pelik juga apabila hampir setiap hari dia tidur lewat. Kadang-kala sehingga pukul 5 pagi masih berjaga menonton televisyen (TV).
“Bagi Azwan, dia perlu bermain dengan gajet atau menonton TV sebelum tidur. Peliknya, dia mampu bangun awal pagi untuk bekerja walaupun tidur lewat.
“Apabila sudah lama mengenali Azwan, saya sudah biasa dengan sikapnya itu,” katanya kepada BH Online.
Mengenai kemungkinan menimang cahaya mata, Ezzaty memberitahu, dia dan suami masih berdoa dikurniakan zuriat secepat mungkin.
Menurut pelakon drama Hello Mr Perfect itu, dia dan Azwan sudah bersedia bergelar ibu bapa.
“Saya dan Azwan sudah tidak sabar hendak anak. Rezeki saja belum ada. Saya berharap orang ramai turut mendoakan kami.
“Pasti seronok apabila rumah kita riuh dengan suara anak-anak. Kami akan terus berusaha dan berdoa, selebihnya biarlah Allah menentukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ezzaty bersyukur perniagaan produk kecantikan miliknya dan suami, Vermillion Essence Mist semakin mendapat perhatian.
Malah, katanya, semakin ramai yang mendaftar menjadi stokis dan agen untuk produk berkenaan.
“Alhamdulillah, sejak berkahwin, rezeki perniagaan semakin bagus. Malah, produk kami sudah berkembang di Singapura dan Brunei.
“InsyaAllah, perniagaan ini akan diperluaskan lagi di beberapa negara lain,” katanya.
Sumber: BH Online
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW