Sejak kehadirannya di Melwood, Sadio Mane antara pemain Livepool yang menarik perhatian ramai termasuk rakan-rakan sepasukan walaupun perwatakannya kelihatan serius.
Dia berkawan dengan semua orang di pusat latihan The Kop, dan mengatakan dia seorang muslim dari Senegal apabila ditanya berapa kerap dia ke gereja ketika kecil.
“Kami muslim, tidak begitu banyak gereja (di Senegal),” katanya.
Penyerang 24 tahun itu terkenal dengan sikap rendah diri dan tidak terlalu menonjolkan diri. Jika pemain di EPL dilihat terkesan dengan gaya hidup selebriti, ia tidak sesuai dengan Mane.
Dibesarkan di sebuah desa kecil di Bambali, selatan Senegal, Mane merupakan seorang anak kepada imam di masjid setempat.
Ketika seorang wartawan Senegal mengunjungi kampung halaman pemain itu, dia diberitahu Mane turut menyumbang dana bagi pembangunan semula masjid di situ, lapor mogaznews.com.
Ada juga khabar mengatakan Mane, seperti pemain berprofil tinggi dari Afrika, turut berhasrat melabur dalam projek-projek bagi membantu masyarakat setempat.
Pentingkan agama
“Saya tidak akan menyentuh arak, agama sangat penting bagi saya. Saya menghormati peraturan Islam dan selalu solat lima waktu,” katanya ketika di awal kedatangan ke Melwood.
Mane berkata, di Senegal penduduknya 90 peratus muslim dan selebihnya penganut Kristian yang hidup dengan harmoni.
“Sahabat saya Lucas, seorang Kristian dan kami sering berkunjung ke rumah masing-masing.
“Tiada konflik agama dan faktanya bahwa saya mahu bermain bola sepak. Saya dibesarkan dengan baik dan dengan cara yang benar dan orang tua saya sangat bangga dengan kerjaya saya seorang pemain bola sepak profesional.
“Mereka masih tinggal di kampung, tapi saya ada sebuah rumah di Dakar. Jadi jika mereka mahu dan tinggal di sana, rumah tersedia untuk mereka,” ceritanya.
Tambah Mane, dalam hidupnya kini sudah didorong rasa ingin mengembalikan sesuatu yang khusus di tempat kelahirannya itu
“Saya berbincang dengan rakan-rakan di Senegal. Saya masih muda, tetapi akan ada sesuatu yang akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Bahan ketawa bapa saudara
Perjalanan karier Mane bukan semudah di mana dia berada sekarang. Jika dikaji secara geografi, kampung halaman di atas peta menunjukkan Bambali hampir terputus daripada muka bumi negara itu.
Apabila dia memberitahu hasrat untuk bermain bola di Perancis, seorang bapa saudaranya akan ketawa besar.
Dia akan diberitahu bahawa Bambali berada di hujung bumi Senegal, jauh dari pusat perkembangan bola sepak negara itu di Dakar.
“Saya tidak percaya kepadanya,” bapa saudaranya memberitahu wartawan yang berkunjung ke Bambali sebelum ini selepas Mane menjadi pemain bola sepak dari Afrika paling mahal di dunia.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilihat menanggapi keperibadi Mane sebagai seorang pemain yang mempunyai perwatakan tersendiri untuk dibawa ke Melwood dari Southampton.
Sumber: Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW