Presiden PAS ke Iran, ini jawapan balas Hadi Awang

Pemergian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke konferensi Persidangan di Iran adalah antara permintaan wakil Ittihad Ulama Muslimin dari Iran, Dr Abdurrahman Bayraan (orang sunni dan dilantik oleh Syeikh Dr Yusof Qardhawi).

Demikian ulasan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung kekecohan yang timbul mengenai dakwaan sesetengah pihak Abdul Hadi ‘salah tempat’ dan tidak wajar menghadiri persidangan tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kehadiran Abdul Hadi juga adalah satu alternatif untuk beliau membawa suara kelompok Sunni yang berada di Iran bagi mengurangkan sedikit tekanan terhadap mereka.

“Selain itu, Tuan Guru juga menjelaskan isu-isu keganasan dan puncanya di waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, pemergian itu juga telah dimaklumkan oleh Abdul Hadi kepada Setiausaha Agung Ittihad Alami iaitu Prof Dr Ali Qaradaghi yang datang ke Kuala Lumpur bulan lepas.

“Jadi tak timbul ianya bercanggah dengan pandangan Syeikh Dr Yusof Qardhawi. Selain daripada Tuan Guru, antara tokoh Sunni lain yang hadir ialah Sheikh Dr Mustafa Ceric (Mufti Bosnia Herzegovina), Mufti Iraq, Wakil Hamas, Mursyid Am Saadat Party Turki, Sheikh Dr Taj El- Din Hilaly (mantan Mufti Umat Islam Australia), wakil dari Jamaat Islami Pakistan dan sebagainya lagi,” katanya lagi.

Oleh itu, katanya isu yang dibangkitkan mengenai apa yang berlaku di Syria dalam minggu ini memerlukan kupasan yang lebih mendalam.

“Insya-ALLAH Tuan Guru sendiri akan mengupasnya secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana mana media antarabangsa atau mana mana pihak, berdasarkan gambaran yang lebih luas. Lajnah Hubungan Luar dan Antarabangsa Pas Pusat akan memaklumkan tarikh dan waktunya yang sesuai untuk program berkenaan,” katanya.

Persidangan ini dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Bagi Penyatuan Mazhab Islam berakhir pada petang semalam dengan ucapan penutup telah disampaikan oleh pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khameini.

 

Sumber: Sinar Harian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post