BADAN Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) menggerakkan kempen ‘Satu Rakyat Kelantan, RM10’, hari ini, bagi menyelamatkan masa depan pasukan bola sepak negeri itu daripada berkubur dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.
Penyelarasnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kutipan di bawah tabung Dana Penyelamat Bola Sepak Kelantan itu bertujuan menyelamatkan The Red Warriors (TRW) selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu menarik diri daripada menyertai saingan liga domestik itu.
“Kenapa (pilih) RM10, kerana ia adalah not merah dan warna itu secara simbolik melambangkan Kelantan tetapi kami tetap harapkan (sumbangan) ribuan atau mungkin jutaan RM10 dan bukan RM10 sahaja.
“Merah juga warna tradisi pasukan Kelantan, jadi kita kena pertahankan maruah negeri ini. Kami harap usaha ini dapat membangkitkan semangat rakyat Kelantan, negeri ini mempunyai 1.8 juta penduduk, kalau beri RM10 seorang, kita sudah dapat jumlah untuk keseluruhan musim depan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Akhbar ini pada 16 Disember lalu melaporkan, kantung kewangan Kafa hanya terkumpul RM800,000 daripada sumbangan penaja tertentu dan badan induk bola sepak negeri itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta sebelum sepak mula Liga-M, akhir Januari depan.
Menurutnya, BBBSK yang terdiri daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Persatuan Bekas Pemain Lagenda Kelantan (Lagenda Kelantan) dan Kelab Sukan Era’80 (Era’80) turut mengharapkan sokongan Kerajaan Kelantan bagi membolehkan pihaknya mengadakan siri jelajah ke semua daerah di negeri itu.
“Sebab itulah kami mahu Menteri Besar, (Datuk Ahmad Yakob) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mohd Faudzi Che Mamat) duduk bersama-sama dengan memberi kemudahan dan kami akan bantu setakat yang termampu,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga bercadang berjumpa dengan anak-anak Kelantan dan tokoh korporat yang berada di luar negeri itu bagi meraih sokongan sekali gus mengumpul seberapa banyak dana bagi tujuan tersebut.
“Saya percaya mereka sedia membantu demi bola sepak Kelantan. Matlamat kami ada tiga iaitu pertama, bola sepak, kedua, pemain dan ketiga, jurulatih. Kami tidak berminat untuk ambil tahu masalah persatuan kerana BBBSK hanya mengambil berat terhadap tiga perkara yang saya sebutkan itu sahaja,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW