Hasrat melangsungkan perkahwinan pada hujung Januari 2017 tidak kesampaian apabila tunang maut dalam nahas bas ekspres di KM137.3 lebuh raya PLUS, awal pagi ini.
Mohd Hanizan Othman, 30, berkata beliau dan tunangnya arwah Nor Saidatul Akmal Idris, 21, merancang untuk berkahwin pada cuti Tahun Baru Cina, 29 Jan depan.
“Segala persiapan perkahwinan di pihak perempuan termasuk kad jemputan kahwin sudah siap dicetak, cuma tunggu untuk diedarkan.
“Perkahwinan di pihak saya pula dirancang pada Mac depan,” katanya di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, hari ini.
Mohd Hanizan dari Pontian berkata, beliau dan Nor Saidatul Akmal adalah rakan sekerja di kilang elektronik di Senai di mana mereka mula berkenalan lebih setahun lalu.
Beliau berkata, tunangnya yang berasal dari Kota Tinggi menaiki bas berkenaan bersama seorang rakan wanitanya untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Negeri Sembilan, esok.
“Kali terakhir saya berkomunikasi dengan Nor Saidatul Akmal ialah menerusi SMA, kira-kira 7 malam tadi.
“Saya tidak menghantarnya ke Terminal Larkin Sentral kerana dia memberitahu akan menumpang kenderaan tunang rakannya,” katanya.
Mohd Hanizan berkata, beliau mula berasa tidak sedap hati apabila Nor Saidatul Akmal tidak menjawab beberapa panggilan telefon dan SMS yang dihantarnya sejak malam tadi.
Beliau pada mulanya mendengar berita mengenai kemalangan bas berkenaan dari seorang rakannya, pada sebelah pagi.
“Saya membuat keputusan untuk pergi ke Negeri Sembilan. Saya kemudiannya menerima panggilan telefon dari abang Nor Saidatul Akmal mengenai nahas itu kira-kira 11 pagi,” katanya.
Beliau berkata, Nor Saidatul Akmal memberinya hadiah coklat dan bunga sempena sambutan hari jadinya, pada 15 Dis lalu.
“Itulah hadiah terakhir yang saya terima daripadanya. Dia tidak pernah berbuat demikian sepanjang kami berkenalan,” katanya.
Sementara itu, ibu Nor Saidatul Akmal, Laila Kasbi, 61, berkata kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya ialah melalui WhatsApp yang anaknya memaklumkan bas yang dinaikinya akan lewat sampai di Johor Bahru.
“Dia pesan pada mak cik suruh mak cik tidur dahulu sebab bas yang dia akan naik sepatutnya sampai di Terminal Larkin Sentral pada tengah malam, namun bas itu lambat dan dijangka sampai dalam 1 pagi.
“Subuh tadi saya buat beberapa kali panggilan kepadanya tetapi tidak berjawab. WhatsApp saya pun dia tidak balas. Saya mulai risau,” jelasnya.
Laila berkata, beliau hanya mengetahui mengenai kemalangan itu melalui laporan berita di televisyen.
“Mak cik cuba buat panggilan pada rakannnya Nur Amira Izzaty Razip yang bersamanya tetapi dia juga gagal dihubungi,” katanya yang kemudiannya menerima berita kemalangan itu daripada polis.
Nor Saidatul Akmal adalah anak bongsu daripada lima beradik dan tinggal di asrama kilang tempatnya bekerja sejak tiga bulan lepas, kata ibunya.
Nahas itu mengorbankan 14 orang termasuk pemandu bas sementara 16 lagi cedera.
Bas itu yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur dilapor terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter.
Sumber: Harian Metro
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW