Syarikat Mondelēz International yang mengeluarkan produk coklat Toblerone dan Daim menegaskan bahawa produk keluaran mereka itu sesuai dan selamat dimakan oleh orang Islam.
Dalam satu kenyataan rasmi syarikat itu mendakwa bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah mengeluarkan penjelasan mengenai isu terbabit.
Baca artikel sebelum: Coklat Daim dan Coklat Toblerone tiada sijil halal
“Pihak Jakim telah menjelaskan bahawa produk makanan yang bukan pemegang sijil halal tidak boleh dianggap halal atau haram.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan dan mengeluarkan coklat Toblerone dan Daim adalah sesuai untuk dimakan orang Islam,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Jakim telah memperjelaskan status halal coklat Daim dan Toblerone di mana Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal dalam satu kenyataan berkata, coklat tersebut bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.
Menurutnya lagi, pihak mereka juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh pasaran tempatan dalam memastikan produk tersebut memenuhi keperluan pengguna.
“Sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa walaupun kedua-dua coklat itu dihasilkan di negara-negara yang tidak memerlukan pensijilan halal, produk kami tetap memenuhi piawaian pemakanan pengguna di seluruh dunia.
“Semua maklumat mengenai bahan-bahan coklat tersebut ada tertera dan pengguna dinasihatkan agar merujuk pada pek bungkusan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW