Kafe Hipster Pemusnah Identiti Asli Pulau Pinang?

Jika satu masa dahulu apabila disebut tentang Pulau Pinang pasti perkara yang terlintas di fikiran kita adalah feri berwarna kuning, pasembor Padang Kota, keenakan nasi kandar, jeruk Chowrasta, keunikan budaya masyarakat, reka bentuk bangunan ataupun seni budaya seperti persembahan boria yang terkenal dengan kesegaraman pakaian dan seni budaya chingay masyarakat Cina di sana.

BACA:Koleksi Gambar Pulau Pinang Dulu-dulu

Namun kini boleh dikatakan Pulau Pinang tidak lagi sinonim dengan perkara sebegitu kerana pelbagai tarikan baru diperkenalkan di sana sejak bandar George Town diwartakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 2008.

Gambar: arminbaniaz.com

Pewartaan itu adalah satu usaha yang baik kerana ia membuka mata pelancong dengan lebih luas tentang keunikan pulai mutiara ini akan tetapi ia turut memberi kesan yang kurang baik terhadap warisan budaya di sana.

Menerusi laporan oleh Channel NewsAsia berkenaan isu ini, sekumpulan aktivis yang mengelar diri mereka George Town Heritage Action (GHTA) memberitahu ramai antara penduduk asal bangunan rumah kedai di George Town terpaksa berpindah dari rumah kedai mereka sendiri.

Gambar: Channel NewsAsia

Hal ini terjadi apabila pemilik rumah kedai yang telah wujud sejak sebelum perang menyewakan atau menjual premis mereka kepada pemilik baru untuk dijadikan kafe-kafe moden, hotel butik ataupun kedai cenderahati.

Malah pengasas bersama GHTA, Joann Khaw turut merasai perbezaan yang ketara waktu sekarang dan dahulu.

“Saya telah jadi pemandu pelancong hampir 25 tahun dan saya lihat perbezaan yang sangat ketara”

“Kalau dahulu 10 rumah kedai di sini adalah rumah kediaman namun kini ia telah berubah, sembilan daripadanya adalah kafe dan hotel”

Menurut Khaw juga, kesan daripada itu Pulau Pinang kehilangan perniagaan tradisional seperti menganyam rotan dan pembuatan setem cina serta sambutan perayaan dan agama.

Bagi Khaw mungkin sekarang ini daripada aspek fizikal bangunan itu wujud namun kehilangan budaya itu adalah kehilangan besar buat Pulau Pinang.

Taman Tema Warisan?

Dalam masa yang sama seorang pengusaha kedai dobi, Chee Hooi Kheng, 76 turut merasai perkara yang sama.

Beliau yang telah menjalakan perniagaan di rumah kedai itu hampir 55 tahun lalu memberitahu buat masa sekarang bunyi projek pembangunan, hon kereta dan motosikal melenyapkan ketenangan yang pernah ada satu masa lalu.

Pengasas bersama GTHA, Mark Lay memberitahu setiap premis yang ingin menukar status bangunan daripada rumah kedai kepada bangunan komersial memerlukan kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Akan tetapi perkara tersebut tiada penguatkuasaan sehinggakan bangunan di sini diubahsuai tanpa sebarang garis panduan. Daripada luar memang nampak ia mengekalkan ciri klasik itu tetapi bahagian dalam telah berubah.

Bagi Mark Lay, keadaan sekarang tidak ubah seperti Jonker Street di Melaka atau Chinatown di Singapura yang mana ramai pengunjung datang melawat tempat yang dipenuhi segala cenderahati seperti magnet peti ais, keychain dan lain-lain.

Harga kemajuan yang harus dibayar

Gambar: Channel NewsAsia

Kami sendiri pernah berkunjung ke Pulau Pinang dan mengakui tarikan untuk ke sana bukan lagi kepada seni budaya yang pernah terkenal tetapi kami lebih tertarik untuk mengambil gambar di lorong-lorong yang dikatakan street art dengan mural 3D dan dikongsikan di Instagram ataupun Facebook.

Budaya seperti cara hidup masyarakat setempat tidak lagi nampak jelas kerana segalanya bercampur dalam satu tempat yang sama sehinggakan sukar untuk generasi muda memahami budaya itu sendiri.

Mungkin inilah nilai kemajuan yang harus dibayar seiring dengan perubahan zaman tetapi generasi muda juga harus sedar akan kepentingan menjaga warisan tradisional negara supaya tidak hilang begitu sahaja.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Post a Comment

Previous Post Next Post