Pengasas Madrasah Annur, Baharin Saleh, 89, atau lebih mesra panggilan Pakcu Baharin menganggap dakwaan sebuah akhbar tempatan menyatakan dirinya menyebar ajaran sesat sebagai asam garam kehidupan.
Tidak menolak itu antara cabaran yang perlu dilaluinya sejak 20 tahun selepas menuntut ilmu pengajian di Johor Bahru sekitar 1990 bersama seorang tokoh agama.
Menurutnya, isu ini telah lama terkubur meskipun beliau pernah didakwa oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1992 kerana mengajar tanpa tauliah, mencetak, memiliki risalah Qama Al-Huda.
“Kisah 20 tahun lalu dibangkitkan semula. Saya tidak marah cuma bila tersiarnya kisah ini, sedikit sebanyak mencemarkan imej madrasah ini.
“Semua murid-murid saya tanya apa yang berlaku. Saya pun tak faham, apa yang mereka mahukan. Kalau betullah saya ni bawa ajaran bertentangan dengan agama ALLAH SWT, kenapa dulu saya tak ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara Malaysia (ISA) atau pun campak ke mana-mana ceruk dunia,” katanya ketika ditanya berkenaan perkembangan kes berkenaan.
Menurutnya, beliau sedikit kecewa pelbagai tohmahan dilemparkan kepada dirinya dan berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.
Dalam pada itu, beliau turut membuat satu laporan polis pada 22 Januari di Balai Polis Melang bagi menafikan kenyataan dalam akhbar itu yang mendakwa dirinya mengamalkan ajaran sesat.
Sementara itu, kini, Pakcu masih aktif mengajar di surau-surau dalam daerah ini malahan murid atau pengikutnya meliputi negeri Johor, Pahang dan Melaka.
Sumber: Sinar Harian
p/s: flashback balik artikel 1 FEBRUARI 2016
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW