Empat wanita, digelar pencuri bercoli, yang menyembunyikan produk kecantikan di dalam pakaian dalam dan beg tangan mereka direman selama tiga hari.
Mereka yang disyaki mencuri di sebuah butik di Parit Raja, di sini, minggu lalu ditahan pada 8 malam tadi, kata ketua polis daerah Batu Pahat seperti dilapor Berita Harian.
Baca artikel sebelum: Viral video 4 wanita curi barang, sorok dalam coli
Empat wanita tersebut, dipercayai bersaudara, dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini sebelum polis mendapat perintah reman bagi siasatan lanjut, kata ACP Abdul Wahib Musa.
Kegiatan mereka terbongkar melalui rakaman kamera CCTV butik Blackcube Rich setelah pemiliknya mengesan kehilangan produk berjumlah RM2,000 hujung minggu lalu.
Keratan-keratan video rakaman juga tersebar meluas di Facebook, kelmarin. Hampir 10,500 pengguna media sosial berkongsi video kes curi itu yang dianggap memeranjatkan.
Pemilik butik Nurul Atiqa Abu Rahim, 26, membuat aduan polis malam Ahad selepas meneliti rakaman CCTV berkenaan.
“Kakitangan saya akan mengira stok barangan di butik setiap hari dan mereka terkejut apabila mendapati kehilangan produk kecantikan bernilai sehingga RM2,000 pada 30 November lalu.
“Selepas meneliti semula rakaman, saya dapati empat gadis itu mencuri puluhan produk kecantikan dengan memasukkannya ke dalam coli serta beg tangan,” katanya kepada portal itu.
“Gadis yang memasukkan produk kecantikan ke dalam colinya sanggup berulang-alik ke kereta bagi mengeluarkan hasil curi sebelum kembali ke dalam butik dan mengulangi perbuatan itu.
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW