Alor Setar : Kelima-lima anak kepada pasangan guru yang maut dalam kemalangan di Jalan Alor Punti, Pendang masih tidak mengetahui ibu bapa mereka telah meninggal dunia berikutan emosi masing-masing belum stabil dan masih trauma dengan nahas yang berlaku pada malam kelmarin.
Difahamkan Maisarah Mohd. Padzil, 14; Masyitah, 12; dan Munirah, 7, kini sudah ditempatkan di wad biasa manakala kembar Muhammad Akmal dan Muhammad Asyraf, 11, masing-masing dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan wad pergantungan tinggi (HDW) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Ibu saudara kepada lima beradik itu, Mazrinawati Mohd. Noor, 37, berkata, mereka sekeluarga terpaksa merahsiakan tentang kematian Mohd. Padzil Rashid, 50, dan Masmiwaza Mohd. Noor, 42, daripada pengetahuan adik-beradik tersebut sehingga keadaan mereka menjadi lebih stabil.
“Kami tak tahu macam mana nak beritahu mereka (kematian ibu bapa) ditambah pula masing-masing masih sakit kerana mengalami kecederaan selain nampak masih trauma dengan kemalangan pada malam tersebut.
“Kesemua anak saudara saya ada bertanya tentang ibu mereka sebaik sahaja sedar, namun kami (ahli keluarga) terpaksa menukar topik perbualan kerana tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Terutama sekali anak bongsu kakak saya, Munirah yang kerap menangis meminta ibunya datang selain tidak mahu makan serta enggan berjumpa dengan orang yang tidak dikenalinya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Tags:
CeritaGempaq