AKU berhenti di sebuah stesen minyak Petronas petang tadi. Hujan turun dengan lebat. Mata aku menangkap kelibat seorang ibu tua yang menggendong dua bungkusan besar keropok kering untuk dijual di kiri dan kanan tangannya.
Tiada siapa mahu membeli. Puas ditanya seorang demi seorang. Puas dia senyum. Namun tak siapa yang sudi. Aku nampak dia dalam keletihan dan kesejukan yg amat sangat kerana baju kurung labuhnya basah terkena percikan hujan. Lalu perlahan-lahan dia mencari satu sudut dan duduk di hujung stesen minyak itu, Allahu – dia terlena!
Lantas aku terbayang betapa seorang ibu menanggung kepayahan selama sembilan bulan menanggung bayi dalam rahimnya, menangis kesakitan dan putus segala urat melahirkan, darah memercik dan ketuban pecah kebasahan, koyak dan rabak sebelum dijahit tanpa kasihan.
Dan semasa remaja kita memberontak bila kemahuan tidak dipenuhi, bila berkahwin mak tak lagi menjadi prioriti. Mak hanya tersenyum melihat telatah cucu tetapi dalam hati dia menjerit mengatakan, wahai anak jangan aku tak dipeduli, kerana aku belum lagi mati!
Tiba-tiba lamunanku tersentak bila ibu tua tadi terjaga. Guruh memecah sunyi suasana. Dan ibu tua tadi kembali bangun dan terus merayu – wahai anakku belilah keropokku.
Mungkin dalam benaknya, andaipun tak sedap jualanku, berilah aku sedikit harapan, sementara mentari datang menggantikan hujan…
SAK
26 Dis 2016
Sumber: Mynewshub.cc
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW