Tiada TV di rumah, solat 4 pagi resipi genggam 10A

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini, Puteri Nur Hanim Mohd Zakri menyifatkan ketiadaan televisyen di rumah sebagai ‘resepi’ kejayaannya memperoleh keputusan 10A pada Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Puteri Nur Hanim, 15, berkata televisyen merupakan satu-satunya peralatan elektrik yang tiada di rumah mereka di Kota Sas di sini, selepas ayahnya Mohd Zakri Zahari, 39, berpisah dengan ibunya Haslinda Khalid, 39, enam tahun lalu.

Pada mulanya, dia mengakui agak sukar menerima ketiadaan televisyen dan berasa sedikit cemburu dengan rakan-rakan yang boleh menonton drama kegemaran mereka, namun lama-kelamaan dia mula membiasakan diri dengan membaca.

“Sekarang sudah tidak rasa apa-apa jika kawan bercerita tentang drama yang mereka tonton. Saya juga lebih fokus dengan pelajaran dan tidak leka semasa berada di rumah,” katanya semasa ditemui di sekolah itu di sini, hari ini.

Bagi mengisi masa lapang, Puteri Nur Hanim belajar bermain alat muzik khususnya gitar daripada ayahnya yang turut berkebolehan bermain drum, dan jika terlalu ingin menonton filem, dia akan mencari cakera padat digital (DVD) untuk dipasang di komputer.

“Ayah juga memberi telefon bimbit dengan pelan internet 1.5 gigabait sebulan. Kebanyakan pelan internet dihabiskan dengan membuat carian bagi kerja sekolah dan hanya pada musim cuti, saya menonton beberapa drama Korea secara online,” katanya yang bercita-cita menjadi penilai hartanah.

Mengenai amalannya belajar, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata dia akan bangun solat pada pukul 4 pagi dan terus mengulangkaji pelajaran sebelum berhenti seketika bagi solat subuh dan kembali belajar sehingga pukul 10 pagi.

Mohd Zakri yang merupakan pekerja di sebuah syarikat kontraktor berkata Puteri Nur Hanim juga mengamalkan amalan berpuasa sunat dan berpuasa selama empat hari semasa menduduki peperiksaan PT3 serta semasa mengambil keputusan hari ini.

“Bercakap tentang televisyen, saya merasakan elok tiada televisyen di rumah kerana saya pernah tidur sejam dua disebabkan khayal menonton. Sekarang anak pula yang marah bila saya suarakan hasrat mahu beli televisyen,” katanya.

Sementara itu, Qistina Hadi, 15, yang turut memperoleh 10A, berkata ibu bapanya Noor Aida Abdul Latif, 42, seorang guru, dan Hadi Manaf, 43, pensyarah Universiti Malaysia Pahang, yang memberi sepenuh kepercayaan kepadanya merupakan pendorong untuk mencatat keputusan cemerlang.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata sebagai orang tua yang terlibat dalam bidang pendidikan, mereka tidak pernah memaksa atau memberi tekanan kepadanya untuk mengulangkaji pelajaran, malah menyokong penuh aktivitinya dalam persatuan Bahasa Inggeris.

Antara pencapaian Qistina adalah disenaraikan sebagai 100 murid teratas bagi pertandingan Spell It Right dan menulis skrip bagi pasukan sekolah dan menyertai pertandingan Choral Speaking peringkat daerah.

“Perkara penting adalah untuk memahami apa yang diajar di sekolah, bukan menghafal. Tambahan pula lebih seronok jika belajar bersama-sama rakan di sekolah, menyebabkan saya teruja untuk ke kelas harian dan kelas tambahan anjuran sekolah,” katanya yang tidak mengikuti kelas tambahan swasta.

Bagi Meor Airil Rahimi Ayib Rosdi, 15, dia menyifatkan kejayaan menggenggam 9A pada peperiksaan itu sebagai penutup pencapaian peribadinya tahun ini selepas berjaya memperoleh pingat pada Kejohanan Catur Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Anak kepada pasangan guru dan pensyarah itu berterima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu memberi latihan tambahan kepadanya bagi ‘mengganti semula’ kelas yang tidak dihadiri sepanjang menyertai pertandingan catur di serata negara.

“Saya juga seronok apabila sekolah mengadakan kelas tambahan malam kerana persekitaran belajar pada waktu malam sangat berbeza. Selalunya sukar untuk dapat kebenaran orang tua jika mahu keluar waktu begitu,” katanya.

Meor Airil Rahimi juga berkata kejayaan itu sekaligus memberi kepuasan kepadanya kerana berjaya mengatasi pencapaian 8A abangnya Meor Adib Rusyaidi, 18, yang juga pesaing catur beliau. — Bernama

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post