Keluarga pemandu bas ekspres Zakeer Zubir, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Pagoh, Johor Sabtu lepas sedia memberi kerjasama dalam siasatan kemalangan itu.
Bapa saudara kepada mangsa, Abdul Shukoor Rahim, 63, berkata keluarganya juga berharap laporan siasatan dapat dikeluarkan segera.
Beliau tidak menolak kemungkinan pihaknya mengambil tindakan undang-undang berhubung kemalangan itu.
Katanya, keluarga mereka telah melantik seorang peguam untuk membantu sekiranya terdapat sebarang ketidakadilan terhadap arwah.
Bercakap kepada pemberita di rumah keluarga Zakeer di sini hari ini, Abdul Shukoor berkata: “Kami ingin jawapan daripada pihak majikan mengapakah bas itu hanya dipandu arwah seorang pada ketika itu?
“Sedangkan jarak perjalanan sangat jauh dari Pulau Pinang ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur.
Bas yang dipandu Zakeer terlibat dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang mengorbankan 14 nyawa.
Mereka termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, berusia setahun.
Isteri Zakeer, Miyarseh Kemat (warga Indonesia) cedera parah dan dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Dalam laporan semalam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengumumkan mereka akan mengeluarkan laporan awal mengenai kemalangan itu dalam tempoh dua minggu lagi.
Dalam pada itu di Muar, laporan terbaru menyatakan Miyarseh akan dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang malam ini atas permintaan keluarga suaminya.
Adik bongsu kepada Zakeer, Zahirah Zubir, berkata keluarganya telah mengambil keputusan untuk memindahkan kakak iparnya ke hospital Pulau Pinang kerana mereka tidak mempunyai ahli keluarga di Muar untuk melihat keadaan Miyarseh.
“Lagipun, kedua anak arwah iaitu Nur Zafeerah, 2, dan Nur Cahaya Zulaikha, 4, masih tidak dapat memahami situasi yang menimpa ibu bapa mereka dan sering mencari-cari ayah dan ibunya terutama pada awal pagi,” katanya kepada Bernama.
Zahirah berkata ibunya, Rashidah Abdul Rahim, 60, turut melahirkan hasrat untuk bertemu dengan menantunya.
“Mak sudah beberapa hari hilang selera makan dan rindu untuk bertemu dengan Kak Miya,” katanya.
Menurut Zahirah, 21, dia dan abang sulungnya, Zameer, 35, tiba di HPSF pada petang ini dan telah menguruskan sebuah ambulans untuk membawa kakak ipar mereka balik ke Pulau Pinang malam ini.
“Insya Allah, sekiranya cuaca mengizinkan, kami akan bertolak malam ini juga membawa ‘Kak Miya’ (Miyarseh) ke Hospital Besar Pulau Pinang,” katanya.
Zahirah berkata keadaan kakak iparnya semakin stabil.
Miyarseh patah kaki kiri, cedera di bahagian kelopak mata dengan kesan 13 jahitan serta luka dan lebam di bahagian belakang badan.
Mengulas mengenai bayaran kos perubatan Miyarseh di HPSF, Zahirah berkata syarikat bas telah berjanji akan menanggung segala perbelanjaan namun meminta pihak keluarga mendahulukan wang sendiri terlebih dahulu.
Zahirah juga mengucapkan terima kasih kepada pihak HPSF kerana menyediakan pakar kaunseling bagi mengurangkan trauma kakak iparnya itu.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga berharap agar orang ramai menghentikan komen negatif terhadap arwah abangnya di laman sosial, katanya.
Zahirah berkata keluarganya masih bersedih dengan kehilangan abangnya. — Bernama
Sumber: Projek MMO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW