Isu 1MDB jauh lebih serius berbanding dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mengandungi dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance Ltd (BMF), kata Lim Kit Siang.
Pemimpin veteran DAP itu memberitahu, dokumen CIA yang dibatalkan kerahsiaannya itu tidak mengandungi sebarang maklumat baru.
Malah kata Lim, beliau sendiri sudah mendedahkan lebih banyak mengenai isu berkenaan berkenaan melalui kenyataan akhbar serta ucapan di parlimen.
“Laporan tu tidak menyatakan apa-apa yang belum pernah saya katakan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.
Melalui laporan CIA yang tidak lagi diletakkan di bawah kategori rahsia, skandal kewangan yang menyebabkan kerugian AS$1 bilion pada awal 1980-an lalu ada kaitan dengan dengan Umno.
Dr Mahathir adalah presiden Umno dan perdana menteri ketika itu.
Ia menjadi isu besar kerana institusi kewangan itu adalah anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Bhd yang dimiliki kerajaan.
Seorang juruaudit BMF, Jalil Ibrahim, ditemui mati dibunuh di Hong Kong ketika dia menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Hari ini Dr Mahathir mendakwa maklumat yang terkandung dalam dokumen itu bertujuan untuk memburuk-burukkannya.
Lim yang juga anggota parlimen Gelang Patah berkata beliau sudah membahaskan laporan BMF itu namun berbeza keadaannya dengan 1MDB.
“Saya tak dibenarkan membangkitkan isu 1MDB di parlimen pun (dan) saya mungkin tak dibenarkan menyebut perkataan kleptokrasi,” katanya.
Sementara itu Naib Presiden DAP, Dr Ariffin Omar yang turut hadir pada sidang media hari ini berkata kerajaan mendedahkan laporan skandal BMF berkenaan kepada umum.
Katanya, keadaan berbeza dengan 1MDB yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Laporan CIA itu juga tidak pernah mendakwa wang (BMF) berkenaan masuk ke akaun persendirian Dr Mahathir, berbeza dengan skandal 1MDB,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
Sumber CIA tak cakap pun duit tu masuk akaun Tun M